Ucapan Messi warnai Hari Kemerdekaan

Ucapan Messi warnai Hari Kemerdekaan

Buenos Aires: Kata-kata Lionel Messi bergema di Katedral Buenos Aires pada Khamis apabila Ketua Biskop, Jorge Garcia Cuerva memetik ucapan kapten Argentina itu ketika misa sempena Hari Kemerdekaan negara berkenaan, tatkala skuad kebangsaan bersiap sedia menghadapi Switzerland dalam suku akhir Piala Dunia.

Garcia Cuerva menggunakan mesej Messi selepas kejayaan Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 di Qatar sebagai seruan perpaduan dalam upacara yang turut dihadiri Presiden Argentina, Javier Milei.

“Mari kita terus menyarung jersi kita dan dengan penuh semangat menghidupkan mesej yang pernah dimuat naik Lionel Messi di media sosialnya,” kata Garcia Cuerva sebelum membacakan kata-kata yang ditulis penyerang legenda itu, empat tahun lalu.

“Apabila rakyat Argentina berjuang bersama dan berdiri bersatu, kita mampu mencapai apa sahaja yang kita impikan,” kata Messi.

Rujukan kepada kata-kata Messi itu dibuat dua hari selepas Argentina menewaskan Mesir 3-2 dalam kebangkitan dramatik selepas ketinggalan 0-2 untuk mara ke kelompok lapan terbaik kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico.

Penyerang berusia 39 tahun itu kini beraksi dalam Piala Dunia keenam berturut-turut dan sudah menjaringkan gol dalam kesemua lima perlawanan Argentina setakat ini, sekali gus mendahului senarai penjaring kejohanan dengan lapan gol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top