Seronok bersama keluarga selain dapat kembangkan aktiviti seni lain

Seronok bersama keluarga selain dapat kembangkan aktiviti seni lain

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Sebut sahaja nama Yuna, prestasi anak Malaysia berusia 40 tahun ini dalam bidang muzik dan seni suara mencapai taraf antarabangsa, kerana pencapaian diraihnya amat membanggakan negara.

Menjadi penyanyi Malaysia pertama berjaya mencapai satu bilion penstriman di Spotify sebagaimana dilaporkan media pada Mei lalu, Yuna atau nama sebenar Yunalis Mat Zara’ai ternyata begitu dikagumi.

Bertemu jodoh dengan Adam Sinclair, 43, yang juga penggiat seni dalam pengarahan filem dan muzik video pada 2018, secara tidak langsung turut dilihat membantu Yuna untuk ‘terbang’ lebih tinggi di luar negara.

Malah, keberanian berhijrah ke Amerika Syarikat bagi mengembangkan karier seninya pada 2011, Yuna kini berada dalam kelas tersendiri dan dia sememangnya seorang yang begitu bermotivasi.

Bahkan, Yuna turut mengatur langkah menjadi pengarah muzik video lagu Ajar Aku nyanyian kolaborasi penyanyi dan komposer Aizat Amdan bersama SOG atau Sekumpulan Orang Gila yang mengangkat tema kerohanian.

Bergabung dengan suami bekerja di belakang tabir menghasilkan muzik video lagu berkenaan, Yuna memaklumkan dia berasa seronok dan selesa dengan tanggungjawab digalas.

“Saya dan Adam, sebenarnya kita sudah biasa kerja bersama dan selalunya untuk lagu saya termasuk pembikinan muzik video. Jadi, memang sangat senang.

“Tetapi, kalau kerja itu hanya buat untuk karya lagu saya sahaja, kadang-kadang kita masing-masing saling memberi saranan untuk cuba dapat menghasilkan muzik video penyanyi lain.

“Biasanya saya akan kongsi apa-apa idea dengan Adam. Mana yang terbaik dan ada ‘wow’ serta memberi inspirasi dari segi vokal serta melodi, kita pastikan buat sesuatu. Secara perlahan-lahan kita mula merancang kreativiti untuk projek muzik video,” katanya.

Kata penyanyi lagu Dan Sebenarnya dan Terukir Di Bintang itu, dia suka bertanya dan membincangkan idea sama ada sesuai dan bernas untuk diguna pakai dalam pembikinan sesebuah muzik video.

“Kalau saya ada ilham untuk nak buat satu muzik video, saya akan bertanya. Macam muzik video Ajar Aku, saya turut tanya kepada Aizat sendiri selaku komposer dan penyanyi apa yang dia nampak dalam lagu itu.

“Tetapi, Aizat pula beritahu dia hanya nak ‘perform’ sebab selama saya mengenalinya, dia dapat sahaja mikrofon, terus menyanyi. Kalau saya, tetap ada malu-malu lagi.

“Bagaimanapun, bila saya lihat Aizat ‘perform’ atas pentas sudah sangat ‘amazing’ (menakjubkan). Jadi, saya dan Adam hanya perlu fokus kepada ‘showmanship’. Justeru, semua yang dirancang berjalan lancar,” katanya.

Berbicara lanjut urusan kerjasama dengan suami tercinta, Yuna tidak menafikan ia boleh dianggap mudah serta menyenangkan kerana masing-masing berada dalam ruang kerjaya yang sama iaitu seni dan hiburan.

“Situasi sekiranya bekerja dengan pasangan, bagi saya sebagai suami isteri ia adalah perkara biasa untuk memudahkan kita dan menyenangkan antara satu sama lain.

“Bahkan macam ada kala kita setuju dan tidak setuju dengan pendapat masing-masing, memang selalu terjadi sepanjang ketika bekerja pun. Namun, itu ‘normal’ kan.

“Apatah lagi, saya ketika mula-mula berjumpa Adam dulu, kita berada di dalam persekitaran kerja di bidang muzik dan kami selesa melakukannya bersama-sama.

“Sehinggalah kita akhirnya suka sama suka, jatuh cinta dan berkahwin. Jadi, kami memang senanglah untuk berkongsi apa sahaja idea kerja. Bagi saya impian jadi kenyataan juga apabila memiliki pasangan yang memahami kerjaya saya dan boleh ‘brainstorm’ idea,” katanya.

Adam yang juga adik bongsu pelakon, Allahyarham Ashraf Sinclair dan pengacara, Aishah Jennifer Sinclair difahamkan pernah memenangi trofi Filem Pendek Terbaik menerusi karya berjudul Sanzaru di Festival Filem Malaysia Ke-25 (FFM25) pada 2012.

Seronok aktif semula di Malaysia

Selepas menempa kejayaan diimpikannya dalam karier seni di Los Angeles, Amerika Syarikat selama 15 tahun, Yuna yang pernah berduet dengan penyanyi, Usher menerusi lagu Crush buat masa ini kembali ke Malaysia.

Ditanya sama ada akan pulang ke Los Angeles semula, Yuna berkata, dia dan Adam tiada perancangan untuk kembali ke bumi Uncle Sam buat masa ini.

Lagi pula, katanya, dia masih sibuk dengan pelbagai aktiviti karier.

“Tengok sahajalah nanti. Cuma, memang belum ada lagi perancangan (nak balik). Sekarang pun saya ada jadual ‘recording’, show (tawaran persembahan) dan Alhamdulillah dapat duduk di Malaysia dengan ibu bapa, keluarga termasuk menjaga emak serta kucing kesayangan.

“Justeru, bagi saya memang ‘dream came true’ (impian jadi kenyataan) dapat balik ke Malaysia dan kembali meneruskan kerja seni dan muzik serta perniagaan di sini,” katanya.

Ditanya juga mengenai single terbaharu, Yuna memaklumkan peminat perlu menunggu pengumuman yang akan dibuatnya.

“Apa saya nak buat selama berada di tanah air untuk projek terbaharu akan datang biar ia secara perlahan-lahan dan semula jadi dengan penuh penelitian. Saya tidak mahu terburu-buru atur sesuatu.

“Macam juga dengan keputusan balik ke Malaysia, saya tengok rezeki apa yang ada dan sesuai dengan masa sendiri. Alhamdulillah, saya dapat bekerja dengan Aizat, SOG dan muncul pada Konsert Hujan XX: 20, baru-baru ini.

“Terus-terang, saya berasa sangat gembira dapat melakukan semula pelbagai kerja seni di Malaysia walaupun dalam karier muzik saya sudah terbiasa bergerak secara ‘independent’,” katanya.

Menurut Yuna, dia lebih selesa memilih untuk terus gigih bekerja apabila berjaya mencapai sesuatu kejayaan bagi perancangan masa depannya.

“Kalau perasan, saya jarang menguar-uarkan semua apa yang sudah dicapai dalam karier sebab kita okay-okay sahaja dan ‘chill’… bersyukur. Malah, saya lebih fikirkan apa seterusnya nak dibuat.

“Biasanya saya suka mencari suatu projek kerja yang begitu bermakna buat diri saya. Terutama, apa yang boleh mencapai keinginan jiwa saya dan kehidupan. Itu sahaja yang buat saya rasa betul-betul gembira,” katanya.

Terdahulu, Yuna pernah mendapat pengiktirafan Recording Industry Association of America (RIAA) serta lagu Shine Your Way nyanyiannya bersama Owl City berjaya menembusi pencalonan Oscar (Anugerah Akademi ke-89) untuk kategori Lagu Asal Terbaik pada 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top