Kansas City: Lionel Messi menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Piala Dunia setakat ini, namun selepas mengharungi dua aksi kalah mati yang memenatkan, mampukah bintang berusia 39 tahun itu terus bertahan apabila Argentina berdepan Switzerland pada suku akhir, Ahad ini?
Skuad kendalian Lionel Scaloni mengharungi saingan peringkat kumpulan tanpa masalah, namun dipaksa bekerja keras ketika menentang Cape Verde dan Mesir.
Mereka memerlukan masa tambahan untuk menyingkirkan pendatang baharu Piala Dunia, Cape Verde, pada pusingan 32 terbaik sebelum menang 3-2, kemudian bangkit daripada ketinggalan ketika menewaskan Mesir yang diketuai Mohamed Salah.
Juara bertahan itu memenangi semua lima perlawanan dengan kehebatan Messi serta semangat juang tinggi seluruh pasukan menjadi kunci kemaraan mereka.
Messi menebus kegagalan menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Mesir menerusi penyudah tenang, sekali gus membantu Argentina bangkit daripada ketinggalan dua gol pada penghujung permainan.
Pemenang lapan kali Ballon d’Or itu turut mengalirkan air mata sebaik tamat kemenangan dramatik 3-2 di Atlanta sambil mengakui dia mahu terus kekal dalam saingan Piala Dunia.
“Ia detik yang penuh kegembiraan dan kelegaan. Kami mahu terus berada dalam kejohanan ini. Kami tidak mahu perjalanan kami berakhir hari ini dan tidak mahu pulang,” kata penyerang Inter Miami itu.
Messi mengakui keletihan selepas beraksi selama 120 minit menentang Cape Verde, namun dia tetap bermain penuh ketika bertemu Mesir dan kekal menjadi tonggak utama pasukan.
Aksi suku akhir di Stadium Arrowhead, itu membawa Messi kembali ke gelanggang sama yang menyaksikannya meledak hatrik pada perlawanan pembukaan Argentina di Piala Dunia 2026.
Dia meneruskan sentuhan berbisa dengan lapan gol, sekali gus menyamai pencabar Kasut Emas, Kylian Mbappe.
Messi juga muncul penjaring terbanyak sepanjang sejarah Piala Dunia dengan 21 gol sepanjang kariernya.
Selain kehebatan Messi, kekuatan utama Argentina ialah semangat berpasukan yang luar biasa.
Wakil Amerika Selatan itu kini tidak tewas dalam 11 perlawanan Piala Dunia dan memburu gelaran berturut-turut, sekali gus berpeluang menjadi negara pertama melakukannya sejak Brazil pada 1962.
“Apa juga yang berlaku selepas ini, pasukan ini sentiasa memberi keyakinan kepada saya bahawa mereka tidak pernah berhenti percaya walaupun segala-galanya seakan tidak memihak kepada kami,” kata Scaloni.
Pandangan itu turut dikongsi pemain tengah, Enzo Fernandez, yang menegaskan pasukan itu “tidak pernah berputus asa walau apa juga cabaran dan kesukaran yang dihadapi.”
Dalam masa sama, timbul dakwaan bahawa Argentina yang sentiasa mendapat sokongan puluhan ribu penyokong berbaju biru putih menerima layanan istimewa sepanjang kejohanan.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, mendakwa pengadil yang mengendalikan aksi pusingan 16 terbaik mungkin menerima “tekanan daripada pihak luar” supaya memihak kepada Argentina, namun dakwaan itu dinafikan Ketua Pengadil FIFA, Pierluigi Collina.
Argentina dijangka berdepan ujian sukar menentang Switzerland yang terkenal dengan corak permainan berdisiplin dan tersusun di Kansas City.
Switzerland yang diketuai kapten berpengaruh, Granit Xhaka, hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama.
Skuad bimbingan Murat Yakin mara dengan menewaskan Algeria 2-0 pada pusingan 32 terbaik sebelum mengatasi Colombia menerusi penentuan sepakan penalti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




