Perjalanan julang Piala Dunia masih panjang – Mbappe

Perjalanan julang Piala Dunia masih panjang – Mbappe

Foxborough: Kapten Perancis, Kylian Mbappe menegaskan pasukannya tidak akan terlalu yakin dengan peluang menjulang Piala Dunia walaupun berjaya mara ke separuh akhir hasil kemenangan 2-0 ke atas Maghribi.

Mbappe yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama sebelum membuka tirai jaringan berkata, Perancis sedar laluan ke gelaran masih panjang dan cabaran selepas ini lebih sukar.

“Saya tidak tahu sama ada kami boleh mengatakan kami sedang menjalankan satu misi. Itu mungkin istilah yang mudah digunakan.

“Tetapi kami sedar satu-satunya masa untuk kami boleh berasa puas ialah apabila berjaya memenangi kejohanan ini.

“Kami gembira kerana sudah mara ke separuh akhir. Namun perjalanan masih panjang dan kami tahu cabaran yang menanti akan menjadi lebih sukar, tetapi kami sudah bersedia.

“Kami bersedia menghadapi apa sahaja lawan yang datang. Sekarang kami akan pulih dengan tenang dan menonton perlawanan esok untuk mengetahui siapa lawan kami seterusnya,” kata Mbappe.

Mbappe turut memainkan peranan dalam jaringan kedua yang disempurnakan Ousmane Dembele sebelum dikeluarkan selepas mengalami hentakan pada buku lali dan digantikan Jean-Philippe Mateta.

“Saya baik-baik saja. Saya hanya menerima hentakan pada buku lali tetapi keadaan saya tidak serius.

“Ketika itu, JP lebih bersedia untuk bermain dalam baki 15 minit terakhir, jadi saya memberi laluan kepadanya,” katanya.

Penyerang berusia 27 tahun itu dijangka cergas sepenuhnya untuk aksi separuh akhir apabila Perancis berdepan pemenang perlawanan suku akhir antara Sepanyol dan Belgium di Dallas pada Selasa depan.

Perancis pernah menjulang Piala Dunia pada tahun 1998 dan 2018 sebelum muncul naib juara selepas tewas menerusi penentuan penalti kepada Argentina pada final edisi 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top