syazrina@hmetro.com.my
Banting: Suspek remaja perempuan berhubung kes tikaman pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Banting pada 6 Julai lalu tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk menghadapi pertuduhan.
Remaja berusia 15 tahun itu tiba pada jam 8.35 pagi dengan memakai jaket berhud berwarna hitam dan diiringi tiga pegawai polis.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan suspek memberi alasan tidak berpuas hati dan memendam rasa selepas mendakwa dibuli, yang menyebabkan dia melakukan perbuatan berkenaan.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilapor berkata, bagaimanapun hasil keterangan beberapa individu termasuk 10 senarai nama pelajar yang tular di media sosial mendapati insiden tidak menjurus ke arah perbuatan buli.
Beliau meminta masyarakat agar memberi ruang penuh kepada polis untuk menyiasat.
Suspek yang juga remaja perempuan ditahan pada hari kejadian dan direman selama empat hari bermula Selasa lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




