‘Lepas dapat kuasa, PM rasa semua negeri tumpang dia’ – Sanusi sindir Anwar

‘Lepas dapat kuasa, PM rasa semua negeri tumpang dia’ – Sanusi sindir Anwar

MERSING – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa beliau seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas memperoleh kuasa mentadbir negara.

Sanusi berkata, tanggapan sedemikian tidak tepat kerana Kerajaan Persekutuan wujud hasil persetujuan negeri-negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Hari ini selepas dapat kuasa pada negeri-negeri, dia rasa seolah-olah negeri ini semua tumpang dia. Kedah tumpang Persekutuan, Johor tumpang, Perak tumpang, Pahang tumpang, Terengganu tumpang dia.

“Kalau dia tak bagi, semua negeri lingkup. Hang ada sebab ada negeri. Kena sedar. Kerajaan Persekutuan ada sebab kuasa itu diserah oleh negeri,” katanya pada ceramah mega N32 Endau di Dataran Mersing Kanan pada Khamis.

Katanya, menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melaksanakan pembangunan serta menyalurkan peruntukan mengikut bidang kuasa yang dipersetujui dan bukannya untuk dijadikan modal politik.

“Bila diberi kuasa, itu tanggungjawab. Apa yang dibuat itu kewajipan, bukan kebaikan, bukan sukarela dan bukan kerana hendak suruh orang pilih parti tertentu.

“Kalau saya jadi Perdana Menteri pun saya kena buat perkara yang sama kerana itu tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi turut mendakwa, Anwar bersama barisan menteri Kerajaan Persekutuan terlalu kerap turun berkempen sepanjang PRN Johor seolah kini yang bersaing adalah antara Kerajaan Persekutan dengan negeri bukan antara sesama parti.

Beliau berkata, pilihan raya sepatutnya menyaksikan pertandingan antara parti dengan parti, bukannya menggunakan kelebihan jawatan dalam kerajaan.

“Dia mai janji macam-macam dengan orang Johor. Dia bawa nama Kerajaan Persekutuan. Dia tak boleh guna sebenarnya Kerajaan Persekutuan itu. Pilihan raya ini parti lawan parti.

“Saya datang malam ini atas nama Perikatan Nasional. Saya bukan datang bawa Kerajaan Kedah. Kita lawan parti dengan parti, baru ‘gentlemen’,” katanya.

Scroll to Top