'Balik awal… esok pergi mengundi' – pesan PM

'Balik awal… esok pergi mengundi' – pesan PM

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Festival Muzik Johor Bahru di Perling Mall di sini, malam tadi mencuri perhatian ramai.

Beliau juga sempat menitipkan pesanan kepada pengunjung festival itu yang diadakan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

“Malam ini, tak apa… saya nak anak-anak enjoy, relax, tetapi balik awal.

“Esok pergi mengundi, boleh?” katanya ketika naik ke atas pentas sebaik tiba di festival berkenaan yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.

Dalam ucapan kira-kira dua minit itu, Anwar mengingatkan golongan muda supaya sentiasa menjaga perpaduan sesama kaum yang membawa kepada keamanan negara.

“Jangan bagi golongan pelampau pecah belahkan kita. Ini penting saya nak ingatkan.

“Jadi, bagi anak-anak, gunakan kuasa dengan baik, yang boleh mengundi esok… pergi undi,” katanya yang meminta rakyat menilai pencapaian Kerajaan Persekutuan dan rekod dalam memastikan kebajikan rakyat terpelihara.

Tempoh berkempen bagi PRN Johor berakhir 11.59 malam ini bagi memberi laluan kepada proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top