BEIJING – Seorang wanita di China membantu suaminya keluar daripada keadaan vegetatif dengan kaedah luar biasa iaitu menggigit jari kaki suaminya bagi merangsang saraf.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila suaminya, Zhao Jinqian kembali sedar dan berbisik kepada Song Mei, dengan berkata, ‘saya sayang awak.’
Menurut South China Morning Post, Jingqian mengalami kerosakan otak yang teruk selepas terselamat dalam insiden terjatuh dari ketinggian enam meter ketika menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di wilayah Henan pada Oktober 2019.
Dia mengalami kecederaan otak yang serius akibat hentakan kepala yang kuat selain patah beberapa tulang dan kerosakan pada paru-paru.
Jingqian bernasib baik kerana masih hidup, namun peluangnya untuk kembali sedar amat tipis.
Kos rawatan yang tinggi turut menghabiskan sebahagian besar simpanan keluarga mereka yang sebelum itu menjalani kehidupan sederhana bersama dua orang anak.
Mei, 45, juga terpaksa berhenti kerja sebagai guru seni di sebuah tadika bagi menjaga suaminya sepenuh masa. Bagi menyara keluarga, dia menjual hasil lukisannya secara dalam talian.
Setiap hari, wanita cekal itu membersihkan dan mengurut tubuh suaminya dan berbual dengannya.
Selama beberapa tahun, dia hanya tidur kurang daripada empat jam pada setiap malam.
Doktor menyarankan Mei supaya merangsang jari tangan dan jari kaki bagi membantu pemulihan saraf suaminya.
Dia secara tidak sengaja menggigit jari kaki Jinqian sebelum menyedari terdapat tindak balas kecil pada tubuh suaminya.
Sejak itu, dia membungkus kaki suaminya dengan beg plastik makanan sebelum menggigit setiap hari selama beberapa tahun.
Amalan itulah yang akhirnya membantu Jinqian kembali sedar selepas hampir tujuh tahun tidak berputus asa. Pada 30 Jun lalu, lelaki itu akhirnya membuka mata. – Agensi


