New York: Harga jualan semula tiket aksi suku akhir Piala Dunia 2026 menurun selepas dua tuan rumah bersama, Amerika Syarikat (AS) dan Mexico, tersingkir daripada kejohanan.
Pada masa sama, FIFA masih mempunyai hampir 1,200 tiket untuk perlawanan akhir yang dijual pada harga AS$1,750 (kira-kira RM7,380) setiap satu.
Laman jualan semula tiket, TickPick, menyenaraikan harga paling rendah bagi perlawanan Sepanyol menentang Belgium di Inglewood, California pada Jumaat ialah AS$328 (kira-kira RM1,381), berbanding AS$774 (kira-kira RM3,261) sebelum AS tewas kepada Belgium pada pusingan 16 terbaik.
Bagi aksi England menentang Norway di Miami Gardens, Florida awal pagi esok, harga paling rendah ialah AS$486 (kira-kira RM2,049), berbanding AS$917 (kira-kira RM3,866) sebelum England menewaskan Mexico untuk mara ke suku akhir.
TickPick turut menyenaraikan harga paling rendah bagi perlawanan Argentina menentang Switzerland di Kansas City, Missouri pada AS$271 (kira-kira RM1,142), menurun daripada AS$565 (kira-kira RM2,381) sebelum pusingan 16 terbaik.
Di luar Stadium SoFi pada Jumaat, Jake van Baarsel berkata dia membeli tiket dua hari lalu.
Lelaki berusia 65 tahun dari Riverside, California itu berkata, sebelum ini dia tidak merancang untuk hadir kerana mengetahui harga tiket terlalu mahal.
Namun, selepas anaknya menghubunginya dan memaklumkan berjaya mendapatkan tiket pada harga lebih rendah, dia membuat keputusan membeli dua tiket berharga AS$237 (kira-kira RM1,000) setiap satu untuk berkongsi pengalaman bersama cucunya yang berusia 13 tahun.
“Ia adalah salah satu detik yang akan menjadi kenangan untuk saya dan cucu saya. Jadi, berapa nilai yang boleh diletakkan pada sebuah kenangan?
“Ya, memang mahal untuk satu perlawanan, tetapi kami menikmatinya.”
Namun, ada penyokong lain yang membayar jauh lebih mahal kerana membeli tiket lebih awal sebelum aksi suku akhir.
Lisandro Pineda, 70, dari East Los Angeles berkata, dia membayar kira-kira AS$521 (kira-kira RM2,200) untuk tiket yang dibeli sebulan lalu.
“Saya fikir harganya terlalu mahal, tetapi ia tiket jualan semula. Saya tidak mahu terlepas peluang. Saya tidak pernah menonton Piala Dunia sebelum ini. Saya juga tidak hadir pada edisi sebelum ini.
“Jadi saya fikir saya ada wang, saya ada masa, apa salahnya beli sahaja tiket itu. Sebab itulah saya berada di sini.”
Seorang lagi penyokong, Kourosh Modarress, 68, dari Los Angeles berkata, keluarganya membeli tiket pakej hospitaliti pada harga AS$1,658 (kira-kira RM7,000) setiap satu selepas gagal mendapatkan tiket dalam salah satu fasa jualan FIFA.
“Saya fikir ini adalah rompakan terang-terangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




