Tiada siapa menyangka perjalanan sekumpulan penunggang RXZ menuju ke Kemaman pada awal pagi akan berakhir dengan khabar duka.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi, empat penunggang maut selepas 30 motosikal dan sebuah kereta terlibat dalam kemalangan di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, berhampiran susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan.
Empat penunggang disahkan maut

Tiga daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Che Mohd Sufian Che Ghani, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh pula meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, kemalangan dipercayai berlaku selepas sebuah motosikal melanggar belakang sebuah kereta di lorong kanan.
Ketika di tempat kejadian, secara tiba-tiba motosikal ditunggang Che Mohd Sufian terlanggar belakang kereta itu. Akibatnya mangsa terjatuh di lorong kanan dan menyebabkan beberapa penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan.
Impak kejadian itu bukan sahaja meragut nyawa empat penunggang, malah turut menyebabkan 20 penunggang lain cedera.

Kesemua mangsa yang cedera sedang mendapatkan rawatan di HTAA. Lapor Utusan Malaysia, konvoi bermotosikal itu dalam perjalanan pulang ke Terengganu selepas makan di sebuah restoran di Kuantan.
Dalam kemalangan sama, seorang remaja berusia 13 tahun yang merupakan penumpang kereta turut cedera di bahagian tengkuk, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Polis memaklumkan proses bedah siasat terhadap empat mangsa akan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HTAA bermula jam 8.30 pagi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pssttt! Takziah buat keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang dalam nahas di LPT ini. Perjalanan yang mungkin bermula dengan semangat bersama rakan-rakan akhirnya bertukar menjadi tragedi yang sukar diterima.
Semoga kejadian ini menjadi peringatan buat semua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati, menjaga jarak selamat dan lebih peka dengan keadaan sekeliling, terutama ketika bergerak dalam kumpulan.
Kredit: Harian Metro | BERNAMA
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




