Kapal tangki ditahan disyaki langgar bot nelayan

Kapal tangki ditahan disyaki langgar bot nelayan

am@hmetro.com.my

Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan kapal tangki yang dipercayai terbabit pelanggaran dengan bot nelayan tempatan di perairan Bagan Datuk, Perak, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kapal tangki itu dipercayai meneruskan pelayaran ke perairan negeri ini selepas insiden berkenaan.

Katanya, susulan maklumat yang disalur Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Perak, pihaknya mengatur gerak aset bagi mengesan dan memintas kapal tangki terbabit.

“Kapal tangki BTS Winter itu kemudian berjaya dikesan dan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika barat Butterworth.

“Ketika ditahan, kapal tangki itu membawa seramai 23 kru terdiri daripada 13 warganegara Malaysia, Indonesia (lapan) dan dua Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, siasatan awal mendapati kapal itu disyaki melakukan kesalahan mengikut

Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengemudi vesel secara gopoh atau cuai.

“Seramai tiga kru kapal bersama dokumen berkaitan ditahan dan diserah kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang bagi tindakan dan siasatan lanjut,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top