Selesai PRN Johor, Syed Saddiq harap rakyat kembali bersatu -“Kita kembali jadi kawan”

Selesai PRN Johor, Syed Saddiq harap rakyat kembali bersatu -“Kita kembali jadi kawan”

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kembali bersatu selepas proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai, sambil mengingatkan bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya menjadi punca permusuhan.

Rakyat perlu menerima perbezaan

Menerusi hantaran di media sosial, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menyatakan rakyat perlu menerima perbezaan pendapat sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi dan mengutamakan perpaduan demi menghadapi cabaran negara.

“Saya harap bila semua dah mengundi dan keputusan dah keluar.
“Kita kembali jadi kawan, walaupun berbeza parti atau pandangan politik,” katanya.

Semangat kebersamaan sangat penting

Menurut Syed Saddiq, Malaysia merupakan sebuah negara yang kecil dengan kira-kira 35 juta penduduk, justeru semangat kebersamaan amat penting dalam mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.

“Banyak lagi cabaran yang kita kena hadap bersama sebagai rakyat Malaysia. Tak apa kalau kita berbeza pendapat. Itu biasa dalam demokrasi.
“Tapi lepas semuanya selesai, jom kita kembali bersatu. Kita boleh berdebat tanpa bermusuh. Akhirnya, kita semua satu pasukan sama: Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, Syed Saddiq turut menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera bersama ibu bapa dan kakaknya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

Scroll to Top