Kluang: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti lebih besar selepas calonnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nur Hafiz Roslan.
Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menang dengan majoriti 15,375 selepas meraih 20,382 undi, berbanding Nur Hafiz dengan 5,007 undi.
Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Machap, Mohd Izzul Helmi Ahmad selepas penjumlahan undi daripada 66 pusat mengundi membabitkan 65 saluran selesai di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam, di sini, hari ini.
Kemenangan tersebut turut menunjukkan BN menang bergaya di DUN Machap apabila majoriti undi diperoleh di kerusi itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding majoriti yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 iaitu 6,543 undi.
Keputusan tersebut turut mengambil kira sejumlah 366 undi pos serta undi awal yang berlangsung Selasa lalu membabitkan 28 anggota polis dan pasangan.
Pada PRN Johor 2022, Onn Hafiz menang di DUN Machap dengan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN–PAS) Azlisham Azahar, calon MUDA R. Sangaran serta calon PEJUANG Sharuddin Md Salleh.
Beliau juga pernah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti tipis 364 undi selepas menewaskan calon PKR, Murugan Muthu Samy.
Seramai 35,206 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Machap pada PRN Johor kali ini.
[LANGSUNG] Keputusan terkini PRN Johor ke-16
© New Straits Times Press (M) Bhd

![[TERKINI] Senarai penuh keputusan rasmi PRN Johor ke-16 [TERKINI] Senarai penuh keputusan rasmi PRN Johor ke-16](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/prnmenang11-o_HMfield_image_socialmedia.var_1783783080.jpg)


