BN menang besar di Johor, Onn Hafiz sifatkan amanah rakyat -“Sama-sama kita rapatkan saf”

BN menang besar di Johor, Onn Hafiz sifatkan amanah rakyat -“Sama-sama kita rapatkan saf”

Barisan Nasional (BN) Johor menyifatkan kemenangan besar yang diraih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu amanah besar untuk terus berkhidmat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

BN Johor menang lebih 40 kerusi

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan kejayaan meraih lebih 40 kerusi itu hasil sokongan padu rakyat serta usaha seluruh jentera parti sepanjang tempoh kempen yang berlangsung selama dua minggu.

“Syukur Alhamdulillah, BN Johor telah memenangi lebih daripada 40 kerusi hari ini. Dengan penuh rasa rendah hati, saya bagi pihak kepimpinan BN Johor ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh Bangsa Johor yang telah beri mandat begitu memberangsangkan.

“Kepada wakil rakyat baharu menang, kita ada tanggungjawab besar, mandat diberikan adalah untuk menjaga seluruh Bangsa Johor, sama ada menyokong kita atau tidak, itu tak penting.

“Apabila kita dah menang, Bangsa Johor yang dikasihi, kita akan jaga semua, Melayu, Cina, India dan orang Asli, kita semua Bangsa Johor,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Johor, malam ini.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyatakan semua wakil rakyat BN akan terus memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan memastikan mandat yang diberikan diterjemahkan melalui perkhidmatan terbaik.

“Wakil rakyat BN akan terus berkhidmat, santuni rakyat, selesaikan isu rakyat secara lebih baik, itu komitmen kami apabila dapat mandat sebegini rupa.
“Sama-sama kita rapatkan saf, buang yang keruh ambil yang jernih. Musim pilihan raya sudah berakhir. Sekarang tanggungjawab adalah untuk bina Johor yang kita impikan bersama, Insya-Allah,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia (Khairul Mohd Ali)

 

Scroll to Top