am@hmetro.com.my
Muar: Perikatan Nasional (PN) terutama PAS akur, menghormati dan menerima keputusan dengan hati yang terbuka susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 ini.
Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, rakyat dan pengundi Johor menzahirkan pilihan serta kehendak mereka secara demokratik dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.
Malah, katanya, keputusan itu juga menyahut seruan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk memastikan kuasa pemerintahan negeri terus berada di bawah kepimpinan orang Melayu Islam berjaya direalisasikan.
“Keputusan pilihan raya ini juga menunjukkan bahawa majoriti rakyat dan pengundi negeri Johor menzahirkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP.
“PAS Johor bersama PN akan terus beristiqamah dalam memperkukuhkan komitmen dan meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa serta kebajikan rakyat, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, PAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan di pelbagai peringkat, ahli, petugas dan jentera pilihan raya, penyokong serta pengundi gabungan itu.
Katanya, dokongan daripada pasukan tempatan, kawasan dari seluruh negeri telah memberikan komitmen yang tinggi dan menyumbangkan tenaga, masa serta wang ringgit dalam membantu PAS Johor menghadapi pilihan raya ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




