Merana dicabut 12 gigi, duit simpanan pula lesap

Merana dicabut 12 gigi, duit simpanan pula lesap

Beijing: Sebuah klinik pergigian di China dikenakan tindakan pihak berkuasa selepas didapati mencabut kesemua 12 batang gigi yang masih berbaki pada seorang lelaki berusia 63 tahun yang menghidap tekanan darah tinggi dan penyakit jantung sebelum didakwa mengeluarkan semua wang dalam akaun banknya, lapor South China Morning Post.

Lelaki berkenaan yang hanya dikenali sebagai Li dari Baoji, wilayah Shaanxi di barat laut China mendapatkan rawatan di Klinik Pergigian Datuanyuan pada September tahun lalu, selepas mengalami sakit gigi.

Li baru-baru ini memberitahu media tempatan bahawa dia tertarik dengan iklan klinik itu yang mendakwa pelanggan boleh “mendapatkan implan gigi pada waktu pagi dan makan daging pada waktu petang” selain menjanjikan “set gigi lengkap untuk hidup melepasi usia 100 tahun”.

Menurutnya, kakitangan klinik berkenaan turut menyediakan kenderaan untuk mengambilnya dari rumah serta menawarkan pemeriksaan percuma sebelum dia bersetuju menjalani prosedur mencabut 12 batang gigi dan pemasangan 10 implan gigi.

Bagaimanapun, selepas rawatan itu, kakitangan klinik terbabit didakwa mengeluarkan keseluruhan wang berjumlah 18,800 yuan (kira-kira RM11,200) dari akaun bank dan dompet digital miliknya, malah meninggalkan bil tertunggak sebanyak 6,200 yuan (kira-kira RM3,700).

“Apabila anak lelaki saya menemui saya, mulut saya dipenuhi darah dan saya hanya mempunyai baki 30 yuan (kira-kira RM18) saja untuk tambang bas,” katanya.

Keadaan itu lebih membimbangkan keluarganya kerana Li menghidap beberapa penyakit serius termasuk penyakit jantung koronari, pernah mengalami serangan jantung (myocardial infarction), diabetes dan tekanan darah tinggi selain mempunyai empat stent koronari yang dipasang pada saluran jantungnya.

Tindakan klinik berkenaan mencetuskan kemarahan selepas keluarga Li keadaan kesihatan kesihatannya tidak sepatutnya membenarkan prosedur sedemikian dilakukan tanpa penilaian risiko yang sewajarnya.

Pesakit dengan keadaan kesihatan seperti itu memerlukan pemeriksaan dan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat sebelum menjalani prosedur pencabutan gigi. Malah dalam keadaan tertentu, pesakit berisiko tinggi mungkin tidak dibenarkan menjalani pemasangan implan gigi serta-merta.

Menurut pakar stomatologi di Hospital Renmin Universiti Wuhan, Fu Dongjie, pesakit diabetes tidak seharusnya menjalani prosedur implan gigi sehingga tahap kesihatan mereka benar-benar terkawal.

Susulan siasatan, pihak berkuasa mengarahkan klinik terbabit memulangkan semula bayaran rawatan kepada Li selain menutup premis berkenaan sementara bagi tujuan penambahbaikan dan pemeriksaan lanjut.

Prosedur memasang implan bagi beberapa batang gigi dalam satu sesi rawatan juga dianggap berisiko tinggi. Pada 2024, seorang lelaki di China dilaporkan meninggal dunia 13 hari selepas menjalani prosedur mencabut 23 batang gigi dan memasang 12 implan dalam satu sesi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top