AduhaI, baru sahaja dunia hiburan dikejutkan dengan berita seorang pelakon wanita yang dikatakan ditangkap berkaitan kes dadah, kini telinga Cik Bunga pula menangkap cerita lain tentang bekas suami pelakon berkenaan.
Bukan cerita biasa-biasa, ya. Kalau benar apa yang sampai ke telinga Cik Bunga ini, nampaknya ada sebab mengapa sesetengah orang belakang tabir kurang senang apabila nama lelaki berkenaan disebut. Untuk pengetahuan, bekas suami pelakon itu pun orang industri dan pekerja belakang tabir.
Khabarnya, ramai orang dalam industri seni memilih untuk menjaga jarak dengannya. Ada yang mendakwa pernah berurusan atas dasar percaya, tetapi akhirnya terpaksa menanggung kerugian dan pening apabila perkara yang dijanjikan tidak menjadi seperti sepatutnya.
Lebih panas, ada pula tanpa berselindung melabelkan lelaki berkenaan sebagai ‘scammer’ kerana kononnya pernah terbabit dalam beberapa urusan kewangan yang menimbulkan rasa tidak puas hati.
Cik Bunga dengar bukan seorang dua yang pernah merungut. Ada orang produksi, kenalan industri dan individu yang biasa bergerak dalam dunia hiburan dikatakan pernah berkongsi cerita hampir serupa.
Kalau seorang yang bercakap, mungkin boleh dianggap salah faham. Tetapi apabila cerita yang hampir sama datang dari beberapa arah, tentulah orang mula tertanya-tanya.
Benar atau tidak segala dakwaan itu, hanya mereka yang pernah berurusan dan pihak berkuasa sahaja yang mampu menentukan.
Namun, satu perkara yang Cik Bunga mahu pesan, hidup ini jangan terlalu suka mengambil kesempatan atas kepercayaan orang lain.
Hari ini mungkin kita boleh tersenyum kerana orang masih percaya, tetapi apabila satu demi satu cerita mula keluar, susah juga hendak menutup mulut orang.Apatah lagi apabila nama sudah terpalit dengan kes lain yang lebih berat.
Apa-apa pun, Cik Bunga tunggu sahaja kalau ada lagi yang mahu membuka cerita. Biasanya kalau seorang sudah mula bersuara, yang lain pun akan mula berani keluar dari persembunyian.




