Teman wanita Yamal buat rayuan lucu, mahu Sepanyol mara demi Justin Bieber

Teman wanita Yamal buat rayuan lucu, mahu Sepanyol mara demi Justin Bieber

Madrid, Sepanyol: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal menerima suntikan semangat yang cukup unik menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 apabila teman wanitanya, Ines Garcia, merayu supaya dia melakukan apa saja bagi membawa Sepanyol ke pentas final.

Ines yang juga seorang pempengaruh media sosial membuat permintaan itu menerusi Instagram selepas FIFA mengumumkan penyanyi terkenal, Justin Bieber akan menjadi antara artis yang membuat persembahan pada pertunjukan separuh masa final Piala Dunia 2026.

Menerusi hantaran yang tular di media sosial, Ines secara berseloroh menggesa Yamal memastikan Sepanyol mara ke final yang dijadual berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey pada 19 Julai ini.

“Sayang, buat apa sahaja untuk mara ke final. Awak dengar tak? Apa sahaja!” tulis Ines.

Permintaan itu bukan kerana bola sepak semata mata, sebaliknya Ines mengakui dia peminat setia Justin Bieber dan tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan penyanyi terkenal Kanada itu membuat persembahan secara langsung.

Justin Bieber disahkan menjadi antara artis yang akan menghiburkan penonton pada pertunjukan separuh masa final Piala Dunia buat julung kalinya, bersama beberapa nama besar lain termasuk Shakira, Madonna, BTS, Burna Boy, Chris Martin dan Gustavo Dudamel.

Bagi Yamal, fokus utamanya tetap membantu Sepanyol memburu gelaran dunia kedua selepas kejayaan pada 2010, namun dia terlebih dahulu perlu membantu pasukannya menyingkirkan Perancis dalam aksi separuh akhir.

Pertemuan dengan Perancis turut mengimbau kenangan manis buat pemain berusia 18 tahun itu yang pernah menjaringkan gol menakjubkan ketika menentang lawan sama pada separuh akhir Euro 2024 sebelum Sepanyol muncul juara kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Ines terus menjadi antara penyokong paling setia Yamal sepanjang kempen Piala Dunia dengan kerap hadir di stadium bagi memberikan sokongan kepada pemain Barcelona itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top