Kansas City: Ketika kebanyakan kisah Piala Dunia dipenuhi nama bintang muda dan pemain sensasi, Dan Burn membuktikan pengalaman serta ketahanan mental masih mampu menjadi senjata penting di pentas terbesar bola sepak dunia.
Pertahanan tengah berusia 34 tahun itu muncul sebagai ‘pahlawan’ tidak diduga buat England selepas memainkan peranan besar membantu The Three Lions melangkah ke separuh akhir Piala Dunia 2026.
Dalam dua aksi terakhir England pada peringkat kalah mati, Burn merekodkan sembilan kali melakukan clearance selain dua blok penting ketika menentang Mexico dan Norway.
Aksi pertamanya yang mencuri perhatian berlaku ketika England berdepan Mexico di Stadium Azteca dalam pusingan 16 terbaik apabila dia dimasukkan selepas pasukan kendalian Thomas Tuchel beraksi dengan 10 pemain.
Ketika Mexico melancarkan asakan bertubi-tubi di hadapan hampir 90,000 penyokong, Burn tampil menjadi benteng kukuh dengan menyingkirkan ancaman bola tinggi menggunakan fizikalnya yang tinggi lampai.
Enam hari kemudian ketika England berdepan Norway di suku akhir, Burn sekali lagi menjadi penyelamat apabila melakukan tandukan keras untuk mengeluarkan bola berbahaya ketika pasukannya mempertahankan kelebihan 2-1 pada masa tambahan.
Pada usia 34 tahun 58 hari, pemain Newcastle United itu menjadi pemain keempat tertua England membuat penampilan sulung di Piala Dunia.
Namun perjalanan Burn menuju pentas antarabangsa jauh daripada mudah. Kisahnya bukan bermula sebagai pemain muda sensasi, sebaliknya penuh dengan penolakan dan perjuangan membina semula karier.
Burn pernah dilepaskan Newcastle United ketika masih remaja sebelum mengharungi laluan sukar bersama kelab divisyen bawahan seperti Darlington, sebelum mendapat peluang bersama Fulham, Wigan Athletic dan Brighton & Hove Albion.
Kepulangannya ke Newcastle pada 2022 membuka semula peluang untuk membuktikan kemampuan, namun tidak ramai menjangka dia akhirnya akan menerima panggilan England dan beraksi di Piala Dunia pada usia yang dianggap lewat.
“Jika kamu bertanya kepada kami ketika saya bermain bersama Darlington dalam Conference dan Liga 2 sama ada saya akan berada di sini, saya mungkin akan kata tidak.
“Terutama sekali pada usia seperti ini,” katanya.
Burn mengakui pengalaman beraksi di Piala Dunia adalah sesuatu yang sukar dipercayai kerana ketika kecil dia hanya mampu menyaksikan kejohanan itu dari jauh.
Dia turut menikmati setiap detik bersama penyokong England termasuk meraikan kemenangan dengan lagu ‘Wonderwall’ selepas aksi pembukaan menentang Croatia.
Walaupun menerima banyak pujian selepas persembahan menentang Mexico, Burn tetap merendah diri dan menegaskan pencapaian itu tidak bermakna jika England gagal meneruskan cabaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd



