Atlanta: Aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 antara England dan Argentina terus diselubungi kontroversi apabila segelintir penyokong Switzerland mendakwa kemenangan juara bertahan itu pada suku akhir dipengaruhi keputusan pengadil.
Argentina menewaskan Switzerland 3-1 selepas masa tambahan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir, namun beberapa keputusan pengadil mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong lawan.
Di media sosial, muncul pelbagai dakwaan kononnya Argentina menerima layanan istimewa daripada pegawai perlawanan, termasuk tuduhan bahawa FIFA mahu memastikan Lionel Messi terus mara ke final.
Penyokong Switzerland turut mempersoalkan beberapa insiden termasuk kekasaran yang didakwa tidak dikenakan tindakan lebih tegas, selain keputusan membabitkan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, tiada sebarang bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan berhubung konspirasi atau manipulasi keputusan perlawanan berkenaan.
Perdebatan itu semakin hangat apabila penyokong England mula menyuarakan kebimbangan kemungkinan pengadilan akan menjadi faktor penting menjelang aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung di Atlanta.
Dalam masa sama, FIFA sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa setiap pegawai perlawanan dipilih berdasarkan prestasi, integriti dan penilaian teknikal yang ketat sepanjang kejohanan.
Argentina kini hanya selangkah lagi untuk mempertahankan kejuaraan dunia yang dimenangi pada 2022, manakala England memburu penampilan pertama di final sejak menjulang trofi pada 1966.
Pertembungan dua gergasi itu dijangka menjadi antara aksi paling dinanti dalam Piala Dunia 2026, dengan tumpuan bukan sahaja terarah kepada pemain, malah juga kepada setiap keputusan pengadil di atas padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




