Wanita rentung selepas kereta rempuh penghadang dan terbakar

Wanita rentung selepas kereta rempuh penghadang dan terbakar

am@hmetro.com.my

Mukah: Wanita rentung selepas Proton Saga dipandunya terbabas dan merempuh besi penghadang jalan sebelum terbakar di Kilometer 1, Jalan Mukah-Selangau, berhampiran jejambat Selangau, dekat sini, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, pada kejadian 7.20 malam itu, mangsa dikenali sebagai Simbut Anak Sigai, 49, memandu dari arah Mukah menuju ke kediamannya di Sungai Pelugau, Selangau.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke kiri jalan dan merempuh besi penghadang.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum kenderaan terbakar.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangau berjaya memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mangsa yang tersepit, namun wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah serta melecur di seluruh badan,” katanya.

Beliau berkata, pengesahan kematian dibuat oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Selangau sebelum mayat mangsa dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.” katanya.

Muhamad Rizal berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Rahmat Jalimin di talian 011-31627137 atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top