PAS menegaskan parti itu rela mengenepikan kepentingan politik sendiri dengan mengarahkan ahlinya mengundi calon Barisan Nasional (BN), termasuk wakil MCA, di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut laporan BH Online, Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu diambil bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berjaya membentuk kerajaan negeri, sekali gus mengekalkan kepemimpinan Melayu-Islam di Johor.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah kerana Johor selamat. Tidak mengapa kita tidak menang walau satu kerusi pun kerana kita melakukan islah.
“PAS sanggup berkorban dengan mengerahkan ahli supaya memberi sokongan kepada calon BN di kawasan yang tidak kita tandingi termasuk sokongan kepada calon MCA,” katanya.
Foto: BH Online
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana PAS Negeri Sembilan di Paroi, pada Ahad.
Abdul Hadi berkata, pendekatan berkenaan membuahkan hasil apabila BN mencatat kemenangan besar dalam PRN Johor, sekali gus memastikan negeri itu terus dipimpin oleh kepemimpinan Melayu-Islam.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan UMNO supaya tidak terlalu selesa dengan kemenangan yang diraih kerana kedudukan politik boleh berubah.
“UMNO jangan ingat dia kuat sampai bila-bila. Pada pilihan raya lalu, ada kawasan yang UMNO kalah dan dimenangi calon DAP Melayu,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan penyertaan PAS dalam PRN Johor bukan bertujuan untuk mengambil alih pentadbiran negeri, sebaliknya bagi mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan orang Melayu.
“PAS nak tawan Johor tidak boleh kerana UMNO sudah menang di Johor. Tetapi sekiranya terlalu banyak parti Melayu yang bertanding, ia akan menyebabkan orang Melayu berpecah,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media, Abdul Hadi berkata, PAS tidak mempunyai halangan untuk menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada UMNO sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti dimeterai dan berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.
Foto: Harian Metro
Menurutnya, rundingan pengagihan kerusi antara PAS dan UMNO masih diteruskan dan menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.
“Ya, kita sedang usaha kerjasama (dengan UMNO/BN). (Hasil perbincangan) sangat positif. Kita terima hakikat Negeri Sembilan, UMNO (yang) dominasi.
“Dia pimpin (jadi Menteri Besar),” ujarnya seperti dilaporkan Harian Metro.
Beliau menjelaskan, dalam perbincangan yang sedang berlangsung, UMNO dijangka terus mempertahankan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ketika ini, manakala PAS kekal bertanding di tiga kerusi sedia ada.
Tambahnya, dua lagi kerusi yang sebelum ini dimiliki BERSATU akan diputuskan sama ada ditandingi PAS atau UMNO berdasarkan kesesuaian hasil rundingan.
“Manakala 17 kerusi yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH) akan diagihkan antara parti-parti yang bekerjasama termasuk UMNO, PAS, MCA, MIC dan GERAKAN mengikut kewajaran.
“Setakat ini, rundingan berjalan dengan baik dan tiada masalah, yang penting orang Melayu, Islam mesti pimpin Negeri Sembilan, seperti juga di Johor,” tambahnya lagi.
Sumber: BH Online, Harian Metro (Mohd Amin Jalil)




