Apa berlaku bila pembanteras rasuah nombor satu Indonesia disyaki terlibat rasuah?

Apa berlaku bila pembanteras rasuah nombor satu Indonesia disyaki terlibat rasuah?

JAKARTA – Seorang pegawai kanan yang sebelum ini mengetuai usaha membanteras rasuah di Indonesia kini berdepan siasatan selepas polis menemui 74 kilogram jongkong emas dan wang tunai melebihi AS$15 juta (kira-kira RM61.13 juta) di sebuah rumah yang dikaitkan dengannya.

Suspek, Febrie Adriansyah sehingga minggu lalu merupakan Timbalan Peguam Negara bagi Bahagian Jenayah Khas, selain mengetuai pelbagai siasatan berprofil tinggi membabitkan rasuah dan penyelewengan.

Menurut polis, serbuan di sebuah kediaman di Sentul, Bogor menemui jongkong emas, wang tunai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan rupiah, selain tujuh bagasi yang disimpan di dalam peti besi.

Pihak berkuasa menganggarkan nilai keseluruhan rampasan itu mencecah 476 bilion rupiah (RM107 juta).

Pendedahan tersebut menjadi antara skandal terbesar yang menggemparkan institusi penguatkuasaan Indonesia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem antirasuah negara itu.

Pengarah Alphagate Capital, Henry Wibowo berkata, siasatan terhadap pegawai kanan kerajaan boleh menjejaskan keyakinan pelabur kerana membangkitkan kebimbangan terhadap tadbir urus dan iklim pelaburan negara.

“Namun, jika tindakan ini membuktikan kerajaan benar-benar komited memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah, ia akhirnya boleh memberi kesan positif terhadap keyakinan pelabur,” katanya.

Kes itu turut mewujudkan dilema apabila polis memaklumkan siasatan akan dipindahkan secara berperingkat kepada Pejabat Peguam Negara, iaitu institusi yang dipimpin Febrie sehingga beliau meletakkan jawatan minggu lalu.

Media tempatan turut melaporkan, berlaku ketegangan antara penyiasat polis dan anggota tentera ketika operasi serbuan dijalankan.

Tentera Indonesia bagaimanapun menjelaskan, kehadiran mereka adalah bagi melindungi pihak pendakwa raya dan bukannya menghalang siasatan.

Penganalisis politik bebas, Kevin O’Rourke berkata, insiden itu mencerminkan persaingan lama antara polis dan tentera sejak era Reformasi selepas kejatuhan bekas Presiden Suharto pada 1998.

Pada Sabtu, polis menamakan Febrie dan seorang ahli perniagaan, Don Ritto sebagai suspek dalam siasatan rasuah dan pengubahan wang haram selepas menyoal siasat 15 saksi serta menyerbu 13 lokasi di Jakarta serta Sentul.

Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) pula memaklumkan rumah di Sentul itu didaftarkan atas nama individu lain yang dipercayai bertindak sebagai proksi.

Febrie mengakui rumah tersebut ialah kediaman peribadinya, namun menafikan jongkong emas dan wang tunai yang dirampas adalah miliknya.

Beliau hanya berkata, aset berkenaan mempunyai pemilik sebenar dan perkara itu akan dijelaskan melalui proses perundangan.

Pihak imigresen turut menghalang Febrie dan Don Ritto daripada meninggalkan Indonesia selama 20 hari, namun kedua-duanya belum ditahan.

Pejabat Peguam Negara memaklumkan, peletakan jawatan Febrie bertujuan memastikan integriti, objektiviti dan berkecualian institusi itu terus terpelihara.

Sepanjang mengetuai Bahagian Jenayah Khas, Febrie mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk membabitkan syarikat perlombongan Timah, syarikat minyak Pertamina, Garuda Indonesia, program makanan percuma kerajaan serta bekas Menteri Pendidikan, Nadiem Makarim.

Beliau juga mengetuai Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan yang ditubuhkan Presiden Prabowo Subianto bagi mengambil semula tanah serta hasil negara daripada syarikat perladangan dan perlombongan yang didakwa beroperasi secara haram.

Menurut polis, Febrie turut disyaki terbabit dalam beberapa kes lain termasuk berkaitan syarikat insurans milik kerajaan Asabri, pembekalan arang batu kepada syarikat utiliti elektrik PLN serta penyelesaian hutang melibatkan entiti berkaitan Krakatau Steel.

Bagaimanapun, pihak berkuasa belum memperincikan penglibatan beliau dalam setiap dakwaan tersebut.

Indonesia kini berada di kedudukan ke-109 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 oleh Transparency International, merosot 10 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.

Presiden Prabowo sebelum ini berikrar memperhebat usaha membanteras rasuah, namun beberapa program utama pentadbirannya turut menjadi sasaran siasatan berkaitan penyelewengan. – Agensi

Scroll to Top