Saya akan jumpa Kor Ming secara peribadi – Ahmad Zahid

Saya akan jumpa Kor Ming secara peribadi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhasrat bertemu secara peribadi dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung kenyataan kontroversi kesediaan Timbalan Pengerusi DAP itu untuk meletak jawatan.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak wajar diungkapkan oleh mana-mana anggota Jemaah Menteri yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Saya tiada nasihat untuk beliau namun kenyataan yang dikeluarkan harus berpatutan kerana kita berjumpa setiap minggu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Kalau berada di dalam pembangkang mungkin kenyataan itu boleh dianggap sebagai kenyataan yang seharusnya. Tetapi jika bersama-sama dengan kerajaan, tak perlulah dibangkitkan.

“Tak apa, saya akan jumpa dia kerana dia merupakan kawan saya yang sangat baik,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke Pertandingan WorldSkills Shanghai 2026 di ibu negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, hubungan dan situasi antara anggota Jemaah Menteri ketika ini berada dalam keadaan yang sangat baik serta kondusif.

Jelas beliau, semua menteri dan timbalan menteri bergerak serta menjalankan tugas secara profesional sebagai satu pasukan.

“Kita telah berjanji bahawa kita berada di dalam Kerajaan Perpaduan ini sehingga akhir penggal.

“Inilah yang kami praktiskan dan persepsi masyarakat di luar itu satu perkara yang lain tetapi realitinya kita berada di dalam keadaan yang sangat-sangat baik,” katanya.

Sebelum ini, Kor Ming berkata akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan jika BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan. – UTUSAN

Scroll to Top