Kad UNHCR tidak beri imuniti daripada undang-undang Malaysia – Akmal Nasrullah

Kad UNHCR tidak beri imuniti daripada undang-undang Malaysia – Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan dokumen kewarganegaraan dan tidak memberikan imuniti daripada undang-undang Malaysia.

“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan tetap akan disiasat dan diambil tindakan,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan menerusi Facebook Kementerian Ekonomi pada Isnin.

Beliau berkata, perkara itu dibentangkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara susulan kebimbangan rakyat berhubung pengurusan pelarian khususnya isu dokumentasi, sindiket pemerdagangan manusia dan kesannya kepada keselamatan komuniti setempat.

Akmal Nasrullah berkata, KDN, melalui Jabatan Imigresen, sedang melaksanakan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian yang merangkumi pendaftaran biometrik, saringan, kawalan dan penguatkuasaan.

“Operasi bersepadu untuk membanteras penyeludupan, pemerdagangan manusia, penyalahgunaan dokumen dan kemasukan melalui lorong haram akan dipertingkat.

“Analitik data dan teknologi pemantauan akan dimanfaatkan bagi mengesan risiko serta menyokong tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM1.2 bilion diperuntuk merentasi beberapa agensi bagi projek berkaitan kawalan dan keselamatan di pintu masuk negara.

Akmal Nasrullah juga berkata, peluasan operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan juga sedang dipercepat bagi menyeragamkan pengurusan serta penguatkuasaan sempadan.

Selain keselamatan domestik dan sempadan, isu keterjaminan makanan dan daya tahan sektor pembuatan dalam mendepani tekanan rantaian bekalan global turut menjadi tumpuan pada mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen di sini. – Bernama

Scroll to Top