Sorloth dikecam teruk akibat tidak mengumpan kepada Haaland

Sorloth dikecam teruk akibat tidak mengumpan kepada Haaland

Miami: Penyerang Norway, Alexander Sorloth menerima kecaman hebat di media sosial susulan penyingkiran pasukannya di suku akhir Piala Dunia menentang England pada Ahad lalu, kata pengendali pasukan, Stale Solbakken.

Kecaman itu bermula selepas Sorloth memilih untuk melakukan rembatan berbanding menghantar bola kepada Erling Haaland yang tidak dikawal dalam satu serangan balas penting situasi dua lawan satu ketika Norway mendahului 1-0.

Rembatannya disekat sebelum England menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian dan seterusnya menang 2-1 selepas masa tambahan.

Pasangan Sorloth, Lena Selnes, berkongsi tangkap layar di Instagram yang memaparkan lambakan mesej berbaur kebencian, termasuk komen yang menggesa penyerang itu supaya membunuh diri.

“Ia sesuatu yang tragik,” kata Solbakken pada sidang media di Miami.

“Itulah dunia yang kita hidup sekarang. Saya sentiasa mengingatkan pemain supaya menjauhkan diri daripada media sosial terutama pada hari-hari seperti ini.

“Tiada apa lagi yang boleh diperkatakan selain ia langsung tidak masuk akal dalam apa jua keadaan.”

Sorloth, 30, yang beraksi bersama Atletico Madrid mempertahankan keputusannya selepas perlawanan dengan menjelaskan pertahanan England, John Stones, telah menutup ruang untuk membuat hantaran kepada Haaland.

“Satu-satunya perkara yang saya mahu lakukan dalam situasi itu ialah menghantar bola kepada Erling,” kata Sorloth.

“Tetapi saya merasakan ruang untuk hantaran itu tiada, jadi saya memilih untuk membuat rembatan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top