Pelaku dan mangsa ada masalah?

Pelaku dan mangsa ada masalah?

saufi@mediaprima.com.my

KES keganasan membabitkan pelajar semakin kerap menghiasi ruangan berita dan setiap kali ia berlaku, persoalan sama timbul iaitu apakah punca sebenar seorang remaja sanggup mencederakan rakan sendiri.

Fenomena buli di sekolah bukan lagi sekadar isu disiplin atau kenakalan biasa, sebaliknya dilihat pakar kesihatan mental sebagai isyarat amaran awal kepada krisis psikologi yang lebih serius dalam kalangan generasi muda.

Isu ini mendapat perhatian meluas susulan kejadian seorang pelajar ditahan kerana didakwa menikam rakan sekelasnya di sebuah sekolah menengah.

Pensyarah Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, kes buli membabitkan dua golongan yang sama-sama berisiko tinggi mengalami gangguan mental iaitu mangsa dan pelaku.

Bagi mangsa, menurutnya, tekanan berterusan boleh mencetuskan kemurungan serius dan kerisauan melampau apabila rasa selamat, penerimaan sosial dan maruah diri mereka terjejas.

“Namun, turut sama membimbangkan ialah golongan pelaku yang sering disalah anggap sebagai individu kuat dan kejam, sedangkan kajian jangka panjang mendapati, kadar kemurungan serta kecenderungan bunuh diri dalam kalangan pelaku buli hampir menyamai mangsa.

“Bezanya, pelaku menterjemahkan tekanan emosi melalui tindakan agresif kerana pada usia remaja, kemurungan jarang kelihatan seperti kesedihan, sebaliknya menjelma sebagai sifat cepat marah dan menyakiti orang lain,” katanya.

Muhammad Muhsin turut mengaitkan tingkah laku sedemikian dengan konsep kitaran keganasan, yang mana mangsa buli pada satu peringkat berisiko tinggi bertukar menjadi pelaku pada masa hadapan, terutama jika mereka turut terdedah kepada pengalaman buruk semasa kecil.

Beliau berkata, ia seperti keganasan rumah tangga atau pengabaian.

Justeru, katanya, pendekatan menghukum semata-mata tanpa memahami punca psikologi di sebalik tindakan pelaku hanya akan membiarkan masalah berulang.

Beliau turut menegaskan keperluan intervensi sistemik merangkumi peranan proaktif kaunselor sekolah, latihan pengesanan awal untuk guru dan ibu bapa, serta keibubapaan yang tegas namun berempati.

“Tanda amaran kritikal seperti kesan kelaran di badan, luahan hasrat mencederakan diri atau perubahan mendadak tingkah laku wajar disegerakan kepada rawatan klinikal kerana kegagalan bertindak awal berisiko membawa kepada tragedi lebih besar.

“Kes baru-baru ini, tanpa mengira sama ada ia disahkan berpunca daripada buli atau sebaliknya, membuka semula perbincangan mengenai betapa pentingnya sistem sokongan kesihatan mental yang menyeluruh di sekolah.

“Ia bukan hanya untuk melindungi mangsa, tetapi turut menyelamatkan pelaku daripada terus hanyut dalam kitaran keganasan yang lebih besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top