Pengadil England kempunan bonus RM463,000

Pengadil England kempunan bonus RM463,000

London: Michael Oliver bakal terlepas bonus lumayan selepas tidak dibenarkan mengadili final Piala Dunia di Stadium MetLife, awal pagi Isnin ini.

Pengadil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu antara calon pilihan untuk mengendalikan aksi kemuncak kejohanan berdasarkan pengalaman luas serta prestasi baik sepanjang Piala Dunia kali ini.

Namun, Oliver dan seorang lagi pengadil England, Anthony Taylor tidak akan diberi peluang mengendalikan perlawanan paling berprestij dalam bola sepak dunia itu.

Kedua-duanya secara praktikal terhalang daripada menerima pakej bayaran penuh yang ditawarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada pengadil kejohanan berikutan England berjaya mara ke separuh akhir selain faktor geopolitik.

Kemenangan England 2-1 ke atas Norway menyaksikan ‘The Three Lions’ mara ke kelompok empat terbaik.

Namun mengikut peraturan FIFA, pengadil tidak boleh mengendalikan perlawanan yang membabitkan negara sendiri.

Situasi itu menyebabkan Oliver tidak boleh mengadili separuh akhir antara England dan Argentina, malah turut tidak layak mengendalikan final sekiranya England mara.

Pengadil juga tidak boleh ditugaskan untuk perlawanan yang mempunyai kesan langsung terhadap pasukan negara mereka pada pusingan berikutnya.

Ini bermakna Oliver tidak boleh mengadili satu lagi separuh akhir antara Perancis dan Sepanyol.

Lebih menyukarkan, pengadil England juga tidak dibenarkan mengendalikan perlawanan Argentina atau aksi yang mempunyai kaitan langsung dengan laluan Argentina dalam kejohanan.

Larangan itu dikaitkan dengan sensitiviti hubungan kedua-dua negara susulan Perang Falkland 1982.

Isu terbabit masih menjadi perkara sensitif di Argentina, malah pernah disentuh pemain mereka ketika menyanyikan lagu ‘Muchachos’ dalam bilik persalinan.

Malangnya buat Oliver, perkara itu bukan berpunca daripada kesalahan dirinya, namun beliau tetap terlepas peluang menerima pendapatan maksimum sebagai pengadil Piala Dunia.

Menurut laporan The Times, pengadil pada kejohanan kali ini boleh memperoleh sehingga £85,000 (RM463,000) termasuk bonus besar bagi perlawanan peringkat kalah mati.

Sebanyak 51 pengadil berada dalam senarai rasmi FIFA sebelum kejohanan bermula selepas pengadil Somalia, Omar Artan gagal mendapat kebenaran masuk ke Amerika Syarikat (AS).

Laporan menyebut kadar asas diberikan kepada pegawai perlawanan untuk tugasan sehingga enam minggu sejak tiba di pusat kejohanan di Miami pada Jun lalu.

Jumlah itu dikatakan hampir dua kali ganda berbanding bayaran yang diterima pengadil lebih sedekad lalu pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Selain bayaran asas, pengadil turut menerima bayaran tambahan bagi setiap perlawanan peringkat kalah mati.

Oliver sudah mengendalikan empat perlawanan sepanjang kejohanan iaitu Belanda menentang Sweden, Norway berdepan Perancis, Kanada bertemu Maghribi serta suku akhir antara Sepanyol dan Belgium.

Dalam aksi terakhir itu, Oliver mencuri perhatian selepas secara tidak sengaja menghalang Dani Olmo ketika Sepanyol melakukan serangan. Beliau kemudian meminta maaf dan menghentikan permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top