Annuar sasar Kelantan City muncul juara

Annuar sasar Kelantan City muncul juara

PRESIDEN Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa menyasarkan pasukan itu muncul juara Liga A1 Semi Pro musim ini.

Annuar bagaimanapun berkata, sasaran minimum ialah menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, namun matlamat sebenar kelab adalah menjulang kejuaraan.

“Kita letak sasaran ‘top four’ minimum, tapi kita ‘are going for championship’. Kejuaraan, itu yang kita beritahu kepada pengurusan.

“Kita adalah pasukan yang dibina untuk menjadi juara, bukan sekadar melengkapkan saingan. Kita membina pasukan untuk menjadi ‘the winning team’,” katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Memperkenalkan Pemain Kelantan City FC di Dewan Rimba Bukit Marak di sini.

Menurut Annuar, beliau mahu berlaku adil kepada semua penaja yang tampil memberikan sokongan kepada kelab itu dengan memastikan pasukan memberikan keputusan terbaik di atas padang.

Katanya, kali ini beliau bukan sekadar memegang jawatan secara kehormat, malah turut melabur dalam pasukan bersama beberapa rakan termasuk bekas pemain era treble Kelantan.

“Saya sendiri melabur. Selain minat dan penghormatan, saya sendiri turut melabur bersama kawan-kawan dan bekas pemain treble. Maknanya kita ada pengharapan yang besar.

“Kita mahu jadi juara supaya penaja berbangga dan terus bersama kita dalam tempoh yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu semua pemain akan dinilai setiap bulan menerusi laporan prestasi bertulis merangkumi aspek kecergasan, disiplin dan prestasi di atas padang.

Beliau berkata, pemain yang gagal mencapai tahap ditetapkan akan diberikan amaran sebelum tindakan lebih tegas diambil.

“Saya sudah beritahu kepada jurulatih, setiap pemain ada laporan bertulis bulanan.

“Pemain yang tidak menunjukkan prestasi baik selepas tiga bulan akan dapat ‘surat cinta’. Kita beri amaran dahulu supaya mereka memperbaiki kecergasan, disiplin dan prestasi.

“Masuk bulan keempat surat kedua. Kalau masih tidak berubah, mereka akan digugurkan,” katanya.

Mengulas kekuatan skuad, menurut Annuar, Kelantan City masih dalam rundingan mendapatkan beberapa lagi pemain berprofil tinggi yang ketika ini masih mempunyai kontrak bersama pasukan Liga Super.

Menurutnya, kehadiran pemain berpengalaman itu penting untuk menjadi inspirasi kepada pemain muda dalam skuad.

“Kita ada dua atau tiga lagi pemain yang sedang dirundingkan. Kita simpan untuk pemain bertaraf tinggi yang mungkin masih mempunyai kontrak Liga Super.

“Kita mahu pemain baharu mendapat inspirasi daripada tonggak-tonggak ini. Walaupun bermain di Liga A1, kita tidak mahu bermain mengikut standard Liga A1.

“Kita mahu kompetitif dengan mana-mana pasukan Liga Super,” katanya.

Ujar beliau, Kelantan City memilih untuk bermula di Liga A1 bagi memastikan kelab lebih stabil dari segi pengurusan dan kewangan.

Katanya, kelab memberi jaminan gaji pemain akan dibayar mengikut jadual selain memperkenalkan sistem bonus bagi setiap kemenangan.

“Cuma kita hendak bermula di medan A1 supaya kita stabil dan kukuh dari segi pengurusan serta kewangan.

“Gaji wajib dibayar dan kita menggunakan sistem bonus. Setiap kali menang perlawanan, pemain akan menerima bonus,” katanya.

Scroll to Top