TEHERAN – Majlis Iran mula membincangkan secara serius rang undang-undang (RUU) berkaitan Selat Hormuz selepas Amerika Syarikat (AS) semakin giat melakukan provokasi terhadap pengurusan laluan strategik itu.
“RUU Tindakan Strategik untuk Keselamatan dan Kemajuan Mampan Selat Hormuz serta Teluk Parsi telah diperkenalkan secara rasmi.
“Teheran kekal teguh mempertahankan garis merah kami, khususnya berkaitan pengurusan Selat Hormuz. Ini hanyalah langkah pertama dan tindakan susulan akan diambil selepas ini,” menurut Ketua Jawatankuasa Keselamatan Negara, Ebrahim Azizi menerusi platform X pada Selasa.
Difahamkan, Majlis Iran kembali bersidang pada Isnin selepas ia digantung sejurus perang tercetus pada akhir Februari lalu.
Sehari sebelum itu, Presiden AS, Donald Trump sewenang-wenangnya menyatakan mereka akan mengambil alih Selat Hormuz dan melaksanakan semula sekatan ke atas pelabuhan Teheran serta mengenakan bayaran sebanyak 20 peratus terhadap kargo yang merentasi laluan maritim itu.
Iran kembali menutup selat tersebut pada Ahad selepas AS melancarkan kempen pencerobohan ganas sejak minggu lalu. – AFP



