Shenzhen: Seorang pelabur veteran di bandar ini mendedahkan membelanjakan sebanyak 13 juta yuan (kira-kira RM8.1 juta) sepanjang sembilan tahun bagi memastikan wanita yang didakwa menipunya dibawa ke muka pengadilan, lapor South China Morning Post.
Kisah Li Ping itu mencuri perhatian netizen selepas video berdurasi 15 minit yang dimuat naik pada 30 Jun lalu tular di media sosial, lapor portal berita guancha.cn.
Li, 52, berkata, dia meraih pendapatan melebihi 70 juta yuan (kira-kira RM43.8 juta) menerusi pasaran saham dalam tempoh bermula 1996 hingga 2014.
Pada pertengahan 2014, Li dijemput menghadiri satu forum sebelum berkenalan dengan Zhang Shudan, seorang pengurus akaun di sebuah bank milik kerajaan yang terkemuka.
Zhang yang berusia 11 tahun lebih muda daripada Li mendakwa dia ditinggalkan oleh ibu bapa kandung sejak kecil dan dibesarkan pasangan warga emas yang hidup serba kekurangan sebelum berjaya melanjutkan pengajian di sebuah universiti berprestij.
Li mendedahkan bahawa dia yang berstatus duda ketika itu bertindak menyimpan wang sebanyak 20 juta yuan (kira-kira RM12.5 juta) di bank tempat Zhang bekerja.
Zhang didakwa mengambil kesempatan terhadap kebaikan Li dengan berulang kali meminjam wang daripadanya atas alasan bagi menampung kos rawatan pasangan warga emas yang membesarkannya sebelum berpura-pura hamil pada Mac 2015.
Li kemudian membeli sebuah pangsapuri di Shenzhen bernilai 7.5 juta yuan (kira-kira RM4.7 juta) atas nama Zhang sebelum mereka melangsungkan perkahwinan di kampung halaman wanita itu di Hanzhong.
Bagaimanapun, sehari selepas perkahwinan mereka, Li terbabit dalam kemalangan jalan raya apabila brek keretanya dilaporkan gagal berfungsi secara tiba-tiba, manakala Zhang melarikan diri ke Los Angeles melalui Hong Kong bersama wang tunai dan dokumen hak milik empat rumah pangsapuri.
“Rancangannya sangat jelas iaitu untuk mewarisi semua aset dan kekayaan saya,” kata Li yang membelanjakan 13 juta yuan (kira-kira RM8.1 juta) bagi mengupah peguam serta penyiasat persendirian di China dan Amerika Syarikat bagi mengesan wanita itu.
Pada 2020, mahkamah di Shenzhen membatalkan perkahwinan mereka, manakala mahkamah di California pada 2024 menjatuhkan hukuman penjara 65 tahun terhadap Zhang atas 23 pertuduhan jenayah termasuk penipuan, penculikan kanak-kanak dan pemerdagangan manusia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




