KUALA LUMPUR – Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur tindakan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN – Maran) yang berpantun menyindir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Teguran itu dibuat selepas Ismail menyampaikan pantun yang dipercayai menyentuh kenyataan Kor Ming sebelum ini berhubung hasratnya untuk meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Buka peti dipenuhi wap, pengat dimakan bersama santan, kenapa menteri tak menjawab, saya ingat dia dah letak jawatan,” katanya.
Bagaimanapun, kementerian pada sesi itu diwakili Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu bagi menjawab soalan di Dewan Rakyat.
Ramli kemudian mengingatkan Ismail supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat dan mengelakkan sindiran yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak.
“Yang Berhormat, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c), jangan sakit-menyakitkan hati antara satu sama lain. Saya faham apa yang diniatkan itu, tetapi kalau saya di sebelah sini sebagai Menteri KPKT, saya akan terasa.
“Kadang-kadang terfikir juga hendak tahan soalan Yang Berhormat. Saya prihatin, tetapi janganlah. Kita manusia. Sindir-menyindir bukan satu perkara yang sesuai, kita wakil rakyat,” ujarnya.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, akan meletak jawatan sekiranya UMNO mencatat kemenangan besar pada PRN Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN berkenaan minggu lalu, sebelum Barisan Nasional (BN) dan UMNO mencatat kemenangan besar dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun pada Ahad, Kor Ming menjelaskan kenyataannya telah disalah tafsir dan menegaskan pendirian itu dibuat atas prinsip mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.
Tegasnya, beliau hanya akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya Najib dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang setimpal, walaupun telah disabitkan bersalah.



