'Hand of God' hingga Beckham, sengketa Argentina-England belum berakhir

'Hand of God' hingga Beckham, sengketa Argentina-England belum berakhir

Atlanta: Insiden Antonio Rattin enggan meninggalkan padang pada 1966, gol kontroversi “Hand of God” Diego Maradona pada 1986 dan kad merah David Beckham pada 1998.

Tiga detik itu antara episod paling ikonik dalam sejarah Piala Dunia yang menjadikan pertemuan England dan Argentina bukan sekadar perlawanan bola sepak, malah sebahagian daripada sejarah politik dan budaya kedua-dua negara.

Menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 antara England dan Argentina pada Rabu, Reuters menemui beberapa saksi yang berada di stadium ketika detik-detik bersejarah itu berlaku.

Mereka mengimbau semula kemarahan, kejutan, kegembiraan dan kekecewaan yang membentuk salah satu perseteruan paling sengit dalam sejarah bola sepak dunia.

Rakyat Argentina, Rex Gowar, yang menyaksikan suku akhir Piala Dunia 1966 di Wembley berkata, dia tidak menyangka akan menyaksikan salah satu insiden paling kontroversi dalam kejohanan itu.

“Kami membeli tiket dengan mudah dan murah ketika itu. Kami tahu England akan bermain tetapi tidak pasti lawannya Argentina,” katanya.

Perlawanan berubah apabila kapten Argentina, Antonio Rattin, dilayangkan kad merah pada babak pertama sebelum enggan meninggalkan padang selama beberapa minit.

“Kami semua terkejut. Rattin berulang kali meminta penjelasan pengadil mengenai keputusan yang memihak kepada England.

“Kami berada di belakang gawang tempat pemain keluar masuk, jadi apabila dia akhirnya berjalan keluar, dia melintas betul-betul di depan kami,” katanya.

Dia turut mengingati tindakan pengurus England, Alf Ramsey, yang menggelar pemain Argentina sebagai “haiwan” serta menghalang pemainnya daripada bertukar jersi dengan lawan.

England menang 1-0 menerusi jaringan Geoff Hurst sebelum muncul juara dunia buat kali pertama.

Dua dekad kemudian, kedua-dua pasukan bertemu semula di suku akhir Piala Dunia 1986 di Stadium Azteca, Mexico City.

Perlawanan itu berlangsung hanya empat tahun selepas Perang Falklands (Malvinas) antara Britain dan Argentina.

Jurugambar Reuters, Gary Hershorn, berkata suasana ketika itu jauh lebih besar daripada sekadar bola sepak.

“Semua orang sedar perlawanan ini mempunyai dimensi geopolitik yang sangat besar,” katanya.

Namun dia gagal merakam detik gol kontroversi Maradona.

“Malangnya saya berada di hujung padang yang bertentangan. Saya tidak nampak apa yang berlaku dan hanya menyedarinya selepas kembali ke bilik gelap untuk memproses gambar,” katanya.

Gowar yang ketika itu membuat liputan sebagai wartawan Reuters turut mengakui tidak menyedari penggunaan tangan Maradona.

“Saya berada jauh di kotak media. Semuanya berlaku terlalu pantas.

“Seorang rakan di sebelah saya berkata, ‘dia guna tangan’,” katanya.

Argentina menang 2-1 sebelum menjulang trofi Piala Dunia.

Bekas penjaga gol simpanan England, Nigel Martyn, pula berada di bangku simpanan ketika England bertemu Argentina pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 1998 di Saint-Etienne.

Menurutnya, media memainkan peranan besar dalam membangkitkan sentimen permusuhan antara kedua-dua negara.

“Saya rasa media lebih banyak mengapi-apikan perseteruan itu berbanding pemain sendiri,” katanya.

Selepas kedudukan terikat 2-2 pada babak pertama, David Beckham dilayangkan kad merah kerana menendang Diego Simeone.

England akhirnya tewas menerusi penentuan penalti, manakala Beckham menjadi sasaran kritikan hebat.

“Saya rasa keputusan itu tidak adil kerana insiden tersebut tidak cukup serius untuk kad merah.

“Apa yang ditulis dan diperkatakan mengenai Beckham juga terlalu keterlaluan. Dia benar-benar mengambil berat mengenai pasukan dan amat kecewa kerana dibuang padang serta menyaksikan kami tersingkir,” katanya.

Empat tahun kemudian, England akhirnya membalas dendam apabila menewaskan Argentina 1-0 menerusi sepakan penalti Beckham pada Piala Dunia 2002.

“Perlawanan pada 2002 terasa jauh lebih bermakna.

“Menang 1-0 hasil penalti Beckham benar-benar memberikan rasa puas kerana ia seperti membalas dendam,” kata Martyn.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top