Atlanta: Lionel Messi kini menikmati sepenuhnya penampilan keenamnya di pentas Piala Dunia, dengan rakan sepasukan, Rodrigo De Paul mengakui kegembiraan kapten Argentina itu turut menyuntik semangat skuad menjelang aksi separuh akhir menentang England, awal pagi esok.
Messi terus mencipta sejarah di Piala Dunia 2026 apabila bukan saja muncul pemain dengan jumlah penampilan terbanyak di kejohanan itu, malah memecahkan rekod jaringan dengan lapan gol pada edisi kali ini yang berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat, menjadikan keseluruhan koleksi gol Piala Dunianya kini 21.
“Melihat dia menikmati setiap detik benar-benar menggembirakan saya, terutama selepas segala yang dilaluinya bersama jersi Argentina dan segala pengorbanan yang dilakukan.
“Saya rasa Piala Dunia kali ini menyaksikan dia benar-benar menikmati permainan.
“Kita semua tahu mentalitinya, cara dia membuat persiapan dan pendekatannya terhadap setiap perlawanan. Tetapi sekarang saya melihat dia gembira, dan sebagai seorang sahabat, itu membuatkan saya sangat gembira,” kata De Paul yang turut bergandingan dengan Messi di Inter Miami.
De Paul, 32, yang beraksi dalam final Piala Dunia 2022 di Qatar ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti, sedar cabaran lebih besar menanti mereka jika mahu mempertahankan kejuaraan.
“Sudah tentu kami mempunyai kebimbangan kerana kami akan menentang pasukan yang sangat hebat. England memiliki ramai pemain bertaraf dunia dan jurulatih yang berkualiti.
“Kebimbangan itu hanya membuatkan kami lebih fokus. Kami berusaha memastikan semuanya berada dalam kawalan,” katanya.
Namun menurutnya, perasaan paling kuat dalam kem Argentina ketika ini adalah keterujaan kerana hanya selangkah lagi untuk beraksi di pentas final.
“Berada hanya satu langkah daripada satu lagi final Piala Dunia… tiada motivasi yang lebih besar daripada itu.
“Setiap pemain mahu beraksi di Piala Dunia. Setiap perlawanan kami anggap seperti final. England adalah kuasa besar bola sepak dan mereka mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan ini seperti empat lagi pasukan yang masih kekal. Saya yakin ia akan menjadi perlawanan yang hebat.
“Saya sangat gembira dan penuh semangat. Secara peribadi saya memang menikmati perlawanan seperti ini. Kami hanya mahu menikmati saat ini tanpa membiarkan emosi menguasai diri. Sebab itu kami memberi tumpuan penuh kepada persiapan dan kekal tenang,” katanya.
Argentina turut memburu sejarah untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia sejak Brazil melakukannya pada 1962.
De Paul bagaimanapun mengakui tugas itu bukan mudah.
“Kami pernah mempertahankan kejuaraan Copa America, tetapi mempertahankan gelaran sentiasa lebih sukar daripada memenanginya buat kali pertama.
“Untuk kekal di puncak selama bertahun-tahun bukan sesuatu yang mudah dan saya sangat bangga dengan rakan sepasukan saya.
“Akhirnya, kejohanan sebesar Piala Dunia selalunya ditentukan oleh perkara-perkara kecil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




