Atlanta: England tidak beraksi dengan tahap intensiti sama seperti yang sering ditunjukkan pemain mereka setiap minggu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Alexis Mac Allister tetap bimbang dengan kekuatan fizikal pasukan itu menjelang separuh akhir Piala Dunia 2026, awal pagi esok.
Pemain tengah Argentina itu beraksi selama enam musim di EPL dan membantu Liverpool menjulang kejuaraan liga dua musim lalu, selain menyedari perbezaan tahap permainan England di Piala Dunia kali ini di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.
“Saya bermain menentang kebanyakan daripada mereka setiap minggu dan jelas mereka sangat kuat dari segi fizikal,” kata Mac Allister ketika Argentina membuat persiapan terakhir bagi pertemuan dengan England di Stadium Atlanta.
“Namun, saya fikir sepanjang Piala Dunia ini kita dapat lihat – saya tidak tahu sama ada mahu menyebutnya keletihan atau tidak – tetapi mereka tidak bermain dengan intensiti sama seperti yang menjadi ciri Liga Perdana.
“Saya tidak tahu sama ada ia disebabkan cuaca panas, keadaan iklim atau faktor lain, tetapi mereka jelas pasukan yang hebat. Kami sangat menghormati mereka, sama seperti kami menghormati semua pasukan kebangsaan yang kami hadapi,” katanya.
Mac Allister berkata pertembungan dengan England mungkin ditentukan bukan sahaja menerusi kekuatan fizikal, tetapi juga aspek mental pemain.
“Jelas sekali aspek mental amat penting. Saya fikir, bagi kami dan pemain bola sepak secara umum, minda adalah perkara paling penting.
“Sudah tentu ada aspek taktikal dan bola sepak yang menentukan permainan ini, tetapi perkara paling penting adalah menggabungkan kedua-duanya.
“Kami sangat yakin dengan diri sendiri. Kami tahu apa yang kami lakukan dan kami tidak akan mengubah pendekatan kami,” katanya.
Argentina sudah mengharungi beberapa perlawanan sengit untuk mara ke separuh akhir, termasuk kemenangan tipis ke atas Cape Verde pada pusingan 32 terakhir.
Mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Mesir pada pusingan 16 terakhir serta memerlukan masa tambahan untuk menyingkirkan Switzerland yang bermain dengan 10 pemain pada suku akhir.
“Benar, mungkin kami sedikit lebih menderita berbanding yang kami mahukan, tetapi itulah Piala Dunia. Ia sentiasa berlaku kerana terdapat banyak pasukan kebangsaan hebat.
“Saya menjangkakan perlawanan esok berlangsung dengan intensiti tinggi dan sudah tentu dengan banyak tekanan daripada kedua-dua pihak,” kata Mac Allister.
© New Straits Times Press (M) Bhd




