Arlington: Pengendali Perancis, Didier Deschamps mengakui pemainnya “sangat kecewa” selepas impian menjulang trofi Piala Dunia buat kali ketiga musnah susulan kekalahan 0-2 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir, namun turut mempersoalkan prestasi pengadil perlawanan.
Perancis yang memukau sepanjang kejohanan dengan meledak 16 gol dalam enam perlawanan sebelum ini, gagal meneruskan rentak cemerlang apabila dikawal rapi oleh Sepanyol di Stadium AT&T, Arlington, Texas.
“Kami sudah tentu amat kecewa.
“Para pemain benar-benar hancur kerana kami datang dengan cita-cita yang tinggi. Pada masa sama, kami perlu mengakui hari ini kami sedikit ketinggalan dari segi teknikal berbanding pasukan yang mengawal permainan dengan sangat baik.
“Tetapi pertama sekali, ini adalah kesalahan kami sendiri. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa,” kata Deschamps.
Bagaimanapun, jurulatih yang bakal meninggalkan jawatannya selepas kejohanan itu tidak dapat menyembunyikan rasa tidak puas hati terhadap pengadil dari El Salvador, Ivan Barton.
Barton menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol pada babak pertama selepas Lucas Digne didapati mengasari Lamine Yamal dalam kotak penalti, yang disempurnakan Mikel Oyarzabal untuk membuka jaringan.
“Saya akan bertanya satu soalan, tetapi saya tidak akan menjawabnya.
“Adakah pengadil itu benar-benar berada pada tahap yang diperlukan untuk mengadili perlawanan separuh akhir Piala Dunia?.
“Dan saya bukan berkata demikian hanya kerana kami tewas hari ini. Terdapat beberapa situasi yang boleh dipersoalkan. Ada juga keputusan yang memihak kepada kami,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




