am@hmetro.com.my
Penganjuran edisi keenam Anugerah Lagu Indie 2025 (ALI2025) menyaksikan sebanyak 15 lagu dari tiga kategori iaitu genre pop, rock dan hip hop bersaing merebut gelaran juara di pentas akhir yang akan berlangsung di Sunway University pada 16 Ogos depan.
Menurut Penerbit Eksekutif ALI, Ahmed Faris Amir, pada tahun ini pihaknya menerima penyertaan yang memberangsangkan daripada pemuzik bebas dengan 590 lagu dihantar membabitkan kategori Pop, Rock dan Hip Hop.
“Proses saringan awal, kami menapis 90 lagu terbaik sebelum dibuka kepada undian orang awam untuk menentukan 15 finalis yang terbaik.
“Kaedah pemilihan menggabungkan penilaian pakar dan sokongan peminat, sekali gus memberi keseimbangan antara kualiti dan penerimaan pendengar.
“Kombinasi ini memberi peluang kepada karya berkualiti untuk menonjol walaupun tanpa promosi besar,” katanya pada majlis pengumuman 15 finalis akhir ALI2025 yang berlangsung di Spacerubix Puchong, di sini.
Hadir sama, Penerbit Eksekutif bersama ALI, Jennifer Thompson dan barisan juri iaitu komposer dan pemuzik AG Koko serta penyanyi hip hop dan komposer Luca Sickta.
Mengenai kriteria penilaian pula, kata Ahmed Faris, ALI memberi tumpuan kepada gubahan, lirik dan keaslian karya.
“Markah akhir adalah gabungan sebanyak 70 peratus dari panel juri profesional dan sebanyak 30 peratus undian dalam talian.
“Formula ini memastikan karya dinilai secara objektif dari segi mutu penghasilan muzik serta merangkumi elemen populariti melalui pembabitan pemuzik bebas.
“Pengumuman 15 finalis ALI2025 ini menandakan kemuncak proses pemilihan yang bermula sejak tempoh penyerahan lagu ditutup pada 31 Mac lalu.
“Lagu terbaik yang bakal dinobatkan sebagai juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM36,000 pada pentas akhir nanti,” katanya.
Sementara itu, anugerah yang dipertandingkan pada edisi kali ini merangkumi kategori utama seperti Lagu Terbaik, Persembahan Terbaik serta kategori mengikut genre: Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik serta Anugerah Lagu Terpaling Platinum.
Dalam kategori Pop, barisan artis seperti Straw Lim, Langkasuka, Kirana Kay, Umar Akmal dan Jazleen berada dalam senarai.
Manakala, dalam kategori Rock pula menampilkan kumpulan dan artis seperti Midnight Fusic, Crazy Grizzly, Pokpang, Sethpoll dan Insiden Ruang Legar.
Tidak ketinggalan, kategori Hip Hop menampilkan rentak kontemporari dengan WRGA, B-Heart & Ical Mosh, Grizzlee & Luqs, Shivanz dan Rudeen ft Wavy Grove & Amean.
Acara ini juga mendapat sokongan pelbagai pihak dan barisan penaja yang turut membantu menjayakan penganjuran ALI25.
Antaranya, Kementerian Belia dan Sukan, melalui Rakan Muda (Rakan Muzik Presents), Fakulti Seni dan Sains Sosial, Sunway University sebagai penaja lokasi rasmi.
Tidak ketinggalan, kolaborasi baharu bersama JBR Bundle sebagai Gaya Indie Rasmi dan kerjasama media bersama Rakita (107.9 FM) sebagai Radio Rasmi dan Nuff Coffee pula menjadi rakan penaja makanan dan minuman.
Bagi peminat yang ingin hadir ke pentas akhir ALI2025, pendaftaran RSVP dibuka secara eksklusif di laman web rasmianugerahlaguindie. com dari 20 hingga 30 Julai ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




