Kempen buah-buahan tempatan mengujakan 2,000 murid di Kedah

Kempen buah-buahan tempatan mengujakan 2,000 murid di Kedah

Sempena musim buah-buahan, kira-kira 2,000 murid di Kedah berpeluang menyertai Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri baru-baru ini bertujuan menggalakkan generasi muda itu mencintai hasil bumi tempatan.

Menerusi kempen yang diadakan di empat sekolah di seluruh Kedah itu, para pelajar didedahkan kepada pelbagai jenis buah-buahan tempatan sambil memahami manfaatnya kepada kesihatan.

Pengarah FAMA Kedah, Shaiful Azhar Zolkipli berkata, kempen tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan galakan kepada generasi muda untuk mengutamakan buah-buahan tempatan.

“Selain itu kempen juga mendidik masyarakat tentang kepentingan pengambilan buah-buahan tempatan untuk kesihatan dan kesejahteraan hidup,” katanya ketika ditemui pada program Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan Tempatan Peringkat Sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegawai di Alor Setar baru-baru ini.

Menurut beliau, program di SK Pegawai tersebut merupakan siri kempen yang kelima selepas diadakan di SK Titi Gajah dan SK Kebun Pinang di sini, SK Tiak, Baling dan SK Kampung Pulai, Pendang.

Dalam pada itu menurut Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar (Sektor Pembelajaran), Mohamad Naser Saad, program tersebut bermanfaat dalam mendidik pelajar mengenali dan mencintai buah-buahan tempatan. “Kita mengalu-alukan program seumpama ini kerana memberi peluang kepada murid untuk mengenali dan mencintai buah-buahan tempatan malah mereka juga berpeluang merasai keenakannya,” katanya.

Bagi murid terlibat, kempen tersebut sangat mengujakan mereka apatah lagi apabila berpeluang menikmati buah-buahan tersebut termasuk raja buah yang kini memasuki musim puncaknya.

Nur Fatima Afrienna Muhammad Faizdy, 11, memberitahu, ia merupakan kali pertama mereka berpeluang menyertai kempen seperti itu yang sangat mengujakan.

“Sesuatu yang berbeza kerana macam-macam aktiviti diadakan dan lebih menarik dapat makan durian dan rambutan. Buah-buahan tempatan memang kegemaran saya,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top