Ketangkasan Rodri lumpuhkan jentera serangan Perancis

Ketangkasan Rodri lumpuhkan jentera serangan Perancis

Arlington, Texas: Rodri mempamerkan aksi kelas dunia di bahagian tengah ketika membantu Sepanyol menewaskan Perancis 2-0 awal pagi tadi, sekali gus membawa juara Eropah itu mara ke final Piala Dunia buat kali pertama sejak muncul juara pada 2010.

Hampir dua tahun selepas mengalami kecederaan ligamen ketika bersama Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal, pemenang Ballon d’Or 2024 berusia 30 tahun itu akhirnya kembali menunjukkan prestasi terbaiknya.

“Selangkah demi selangkah, kami semakin hampir. Pasukan sangat gembira. Ini kali kedua kami mara ke final dan sekarang kami perlu bertenang serta berehat,” kata Rodri.

Sepanjang kejohanan, Rodri sudah menunjukkan tanda-tanda kembali ke tahap yang menjadikannya tonggak utama dominasi City di England dan Eropah selepas musim bersejarah 2022-23.

Namun, aksi menentang Perancis menyaksikannya benar-benar menguasai bahagian tengah, mengingatkan kepada prestasi luar biasanya ketika mencatat rekod 74 perlawanan tanpa kalah bersama City dari Februari 2023 hingga Mei 2024.

Rodri menjadi nadi permainan Sepanyol apabila berjaya mematahkan hampir setiap gerakan Perancis yang dibarisi pemain berbisa seperti Kylian Mbappe, Ousmane Dembele dan Michael Olise.

Bersama Aymeric Laporte dan Pau Cubarsi, dia membentuk benteng kukuh yang menyekat ruang buat barisan serangan Perancis sehingga penjaga gol Sepanyol, Unai Simon, langsung tidak perlu melakukan sebarang penyelamatan sepanjang perlawanan.

Rodri kerap memintas hantaran, merampas bola daripada Dembele serta memaksa Mbappe bergerak ke kawasan yang tidak berbahaya, sekali gus mematahkan segala ancaman Perancis.

Kekecewaan Perancis jelas kelihatan apabila jurulatih Didier Deschamps menggantikan Adrien Rabiot pada waktu rehat dalam usaha menguasai semula bahagian tengah, namun percaturan itu gagal mengubah keadaan.

Selain ampuh bertahan, Rodri turut cemerlang mengawal tempo permainan menerusi hantaran tepat ke bahagian sayap kepada Marc Cucurella dan Pedro Porro, sambil melakukan larian melebihi 12.5 kilometer sepanjang perlawanan.

“Mengikut karakter kedua-dua pasukan, kami tahu mereka lebih berbahaya dalam serangan pantas manakala kami lebih menguasai bola. Sokongan daripada pemain bek sisi dan seluruh pasukan memang luar biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top