redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kota Bharu: Biarpun datang dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Yuki Raisha Mohd Thirmidzi, membuktikan dirinya mampu mewakili sekolahnya seterusnya bergelar johan pertandingan tilawah al-Quran peringkat zon.
Lebih istimewa, Yuki, 11, membuat persiapan dengan bimbingan bapanya, Mohd Thirmidzi Ibrahim, 41, hanya lima hari sebelum pertandingan berlangsung.
Menerusi hantaran di TikTok, Mohd Thirmidzi berkongsi perjalanan anaknya yang ‘berguru’ dengannya hingga dinobatkan sebagai juara
Berkongsi kisah itu, Mohd Thirmidzi dari Kubang Kerian, di sini berkata, sebagai bapa, dia tentunya bangga dengan kejayaan Yuki yang mewakili SJKC Chung Hwa, di sini kerana bergelar juara selepas kali pertama menyertai pertandingan tilawah al-Quran.
Mohd Thirmidzi juga gembira kerana dapat membantu anaknya pada saat akhir walaupun dia tidak pernah bersekolah agama, hanya ada asas mengaji dan tiada pengalaman menyertai pertandingan tilawah al-Quran.
“Saya ibarat bidan terjun sebenarnya kerana pada awalnya menyangka guru yang akan membimbing anak sebelum menyertai pertandingan pada April lalu.
“Tapi guru itu tak dapat membantu kerana kesuntukan masa jadi saya ambil inisiatif mengajar anak yang mempersembahkan bacaan surah al-Baqarah.
“Kalau menonton video di TikTok itu, saya nampak garang kerana nak anak buat yang terbaik dan memang kena tegas kerana dia belajar di SJKC, jika tidak akan ketinggalan.
“Syukur Allah SWT izinkannya bergelar juara dan ia pencapaian yang baik buatnya kerana itu kali pertama wakil sekolahnya memenangi pertandingan tilawah al-Quran,” katanya.
Mohd Thirmidzi berkata, selepas merangkul kejuaraan itu, Yuki bertanding pula mewakili sekolahnya untuk peringkat daerah pada Mei lalu.
“Cuma tak ada rezeki untuk dia mendapat tempat…tapi ia tetap pengalaman berharga buatnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




