Johor hadapi cabaran iklim, masyarakat menua, teknologi

Johor hadapi cabaran iklim, masyarakat menua, teknologi

Johor Bahru: Cabaran perubahan iklim, persediaan menghadapi status masyarakat menua serta perkembangan teknologi terkini, menjadi antara agenda utama dalam Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri (RSN) Johor 2040, yang sedang dirangka.

Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri (PLANMalaysia Johor) Abdulhan Abd Lamit berkata kajian semula itu, dilaksanakan bagi memastikan instrumen perancangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi negeri, sentiasa relevan dengan keperluan semasa serta masa hadapan rakyat.

Beliau berkata, RSN Johor 2040 akan menggunakan pendekatan berasaskan misi atau Mission-Oriented Policy Approach, yang menetapkan sasaran utama terlebih dahulu, sebelum strategi sokongan dirangka untuk mencapainya.

“Kita cuba membuat sedikit kelainan bagi RSN kali ini melalui pendekatan berasaskan Mission-Oriented Policy Approach,” katanya semalam.

Sebelum ini RSN Johor 2020 diwartakan pada 2008, manakala rancangan struktur negeri generasi kedua, RSN Johor 2030, diwartakan pada Mac 2020.

Abdulhan berkata, proses kajian semula bagi edisi 2040 itu bermula pada April lalu dan dijangka dimuktamadkan sepenuhnya menjelang April 2027.

Beliau berkata, menerusi pendekatan berasaskan misi itu, kerajaan negeri akan menentukan sasaran yang hendak dicapai, sebelum merangka pelbagai strategi bersandarkan fakta, data dan analisis berkaitan.

“Sebagai contoh, bagaimana kita mahu mengurangkan pelepasan karbon sepanjang tempoh perancangan. Itu mungkin menjadi antara sasaran, yang kemudiannya akan disokong dengan beberapa strategi bersesuaian,” katanya.

Abdulhan berkata, pendekatan strategik itu juga penting, bagi menyelaraskan perancangan fizikal negeri dengan dasar dan agenda pembangunan baharu, termasuk Maju Johor yang diilhamkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pelan Transformasi Ekonomi Johor.

Beliau berkata, RSN Johor 2040 juga akan mengambil kira projek berimpak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pembangunan Maharani Freeport dan Ibrahim Technopolis (IBTEC).

“Selain itu, RSN Johor 2040 turut mengambil kira perkembangan teknologi terkini seperti bandar pintar, Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Mengulas aspek alam sekitar, Abdulhan berkata kajian itu memberikan perhatian serius terhadap impak perubahan iklim global, khususnya dalam merangka strategi pembangunan yang lebih berdaya tahan terhadap risiko bencana.

Beliau berkata kejadian banjir yang pernah berlaku di beberapa daerah, termasuk Segamat dan Batu Pahat, menunjukkan keperluan supaya faktor risiko bencana diberikan pertimbangan utama dalam perancangan pembangunan negeri.

“Sebelum ini, banjir berlaku di daerah Segamat dan Batu Pahat dan perkara ini merupakan antara isu serius, yang perlu diambil kira dalam perancangan di peringkat negeri.

“Selain itu, unjuran menunjukkan selepas 2040 kita akan menuju ke arah masyarakat menua, jadi perancangan yang bersesuaian perlu dibuat dari sekarang,” katanya.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), populasi Johor dianggarkan berjumlah kira-kira 4.21 juta orang pada 2025, dengan keluasan negeri 1.932 juta hektar yang merangkumi 10 daerah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top