Menyamar pembeli sebelum serbu premis jual jersi tiruan

Menyamar pembeli sebelum serbu premis jual jersi tiruan

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Tindakan anggota penguat kuasa menyamar sebagai pembeli dalam talian membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang membongkar kegiatan penjualan jersi Piala Dunia tiruan.

Susulan itu serbuan dilakukan bersama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di dua premis di Jalan Cenderawasih Indah di sini, hari ini yang membawa kepada rampasan 7,200 helai jersi pelbagai jenama dari China.

Rampasan dianggarkan bernilai RM360,000 dan seorang lelaki dipercayai pemilik premis yang berusia 29 tahun ditahan untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, pihaknya melakukan risikan selama tiga minggu dan membuat pembelian secara penyamaran terhadap beberapa penjual di platform e-dagang selepas mengesan peningkatan permintaan jersi pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia FIFA 2026.

“Siasatan mendapati sindiket ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dengan membuat siaran langsung untuk menjual jersi, manakala premis yang diserbu dijadikan tempat penyimpanan stok, pembungkusan dan penghantaran pesanan.

“Operasi ini dijalankan selepas kita membuat saringan penjual di internet dan menyamar sebagai pembeli. Pelbagai kaedah digunakan termasuk mengesan alamat Protokol Internet (IP) bagi memastikan lokasi sebenar tempat pengoperasian sebelum serbuan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan di dua premis itu menemukan 7,200 jersi pelbagai jenama terkenal serta pelbagai barangan lain yang disyaki menggunakan cap dagangan secara tidak sah,” katanya kepada pemberita selepas turut serta dalam serbuan berkenaan.

Jegan berkata, jersi tiruan itu dijual antara RM35 hingga RM50 sehelai bergantung kepada gred atau kualitinya, malah premis perniagaan sukar dikesan kerana beroperasi secara tertutup dan tidak disedari orang keliling.

“Semasa serbuan dibuat, banyak bungkusan sudah siap untuk dihantar kepada pelanggan. Kita jangkakan ramai pembeli tidak akan menerima tempahan mereka kali ini, namun tindakan ini perlu diambil bagi membanteras penjualan barangan tiruan,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran pemilik hak yang sah dan berdepan tindakan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, orang ramai pula diingatkan tidak membeli barangan tiruan kerana perbuatan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengakibatkan kerugian kepada rakyat dan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top