Kuala Lumpur: Jumlah pemegang akaun ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (BNPL) yang aktif meningkat kepada lapan juta bagi suku pertama 2026, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Menurutnya, dalam tempoh yang sama jumlah baki terkumpul BNPL mencecah RM5.3 bilion manakala jumlah tidak berbayar sebanyak RM181.0 juta atau 3.4 peratus daripada jumlah baki terkumpul BNPL.
“Secara keseluruhannya, hutang BNPL kekal rendah iaitu sekitar 0.3 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah dalam negara setakat akhir 2025,” menurut kementerian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.
Menurut MOF, kerajaan berpandangan bahawa perkembangan sektor ini perlu disertai dengan perlindungan pengguna yang kukuh bagi memastikan kemudahan kredit terus digunakan secara berhemat dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, menurutnya penyedia BNPL kini diwajibkan mendapatkan lesen daripada Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP).
Menurutnya keperluan pelesenan ini membolehkan SKP memastikan hanya penyedia yang memenuhi keperluan kawal selia, tadbir urus dan perlindungan pengguna dibenarkan beroperasi.
MOF memaklumkan, pada masa sama SKP telah mengeluarkan Standard Pelesenan dan Pendaftaran, dan Standard Pelakuan yang menetapkan standard minimum yang perlu dipatuhi oleh semua penyedia BNPL.
“Tempoh permohonan lesen telah dibuka pada 1 Jun 2026, dan penyedia BNPL sedia ada diberi tempoh sehingga 30 Nov 2026 untuk mengemukakan permohonan masing-masing.
“Sepanjang tempoh ini, SKP sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan penyedia BNPL bagi memastikan mereka benar-benar memenuhi keperluan pelesenan,” menurutnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




