Semarakkan gaya hidup sihat

Semarakkan gaya hidup sihat

asmaini@mediaprima.com.my

Lautan biru mewarnai Putrajaya apabila lebih 10,000 peserta menyertai ‘Skechers Friendship Walk and Run 2026’, baru-baru ini.

Dianjurkan oleh jenama kasut gaya hidup dan prestasi,edisi kesembilan acara tahunan itu menjadi platform menghimpunkan komuniti pencinta kecergasan dalam memupuk amalan gaya hidup sihat secara santai dan meriah.

Bukan sahaja mencatatkan rekod tersendiri malah edisi kali ini juga lebih mencabar apabila kategori Larian Separuh Maraton 21 kilometer (km) diperkenalkan.

Ia melengkapkan dua lagi kategori popular iaitu Larian Kompetitif Individu 10km serta Jalan Santai 5km yang disertai pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Pengarah Urusan Skechers Asia Tenggara Zann Lee berkata, penyertaan peserta edisi kali ini meningkat 25 peratus, daripada 8,000 peserta tahun lalu kepada 10,000 peserta tahun ini.

Katanya, peningkatan jumlah peserta itu membuktikan acara berkenaan mendapat tempat dalam masyarakat yang semakin memberi perhatian terhadap aspek kesihatan dan penjagaan kecergasan.

“Ia secara tidak langsung menunjukkan masyarakat di negara ini semakin menerima amalan gaya hidup aktif dan sihat,” katanya.

Dalam pada itu, ia bukan sekadar acara larian, malah sudah menjadi antara program tahunan yang dinantikan dalam kalendar kecergasan negara.

Selain perlumbaan, peserta turut berpeluang merasai sendiri teknologi kasut terkini jenama itu menerusi koleksi ‘Hands Free Slip-ins’, ‘Max Cushioning Glide-Step’ dan ‘AERO Razor’ yang direka bagi memberikan keselesaan maksimum sama ada ketika berjalan santai mahupun berlari jarak jauh.

Dalam usaha memastikan penganjuran memberi impak lebih besar kepada masyarakat, sumbangan RM10,000 menerusi tanggungjawab sosial korporat disalur bagi membantu pesakit barah yang kurang berkemampuan.

Sumbangan disampaikan Pengurus Kanan Kewangan Skechers Malaysia Mellissa Moo Yoong kepada Penolong Ketua Bahagian (Projek) Majlis Kanser Nasional (MAKNA) Ravi Varman Aaron.

Menurut Ravi, bantuan berkenaan akan digunakan untuk meringankan beban pesakit barah melalui subsidi rawatan serta bantuan kebajikan kepada keluarga yang memerlukan.

“Kami menghargai sokongan semua pihak yang bersama-sama menjayakan usaha ini.

“Setiap sumbangan memberi makna besar kepada pesakit,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori Larian Separuh Maraton Individu 21km, Mohamad Nur Radzman muncul juara kategori Terbuka Lelaki dengan catatan masa 1:15:45, diikuti Muhammad Asyraf dan Ahmad Sayuti sebagai naib juara dan kedua.

Chew Jia Qi pula menjuarai perlumbaan kategori Terbuka Wanita, dengan masa 1:30:42, diikuti Chan Anne Sze dan Tea Su Hua.

Bagi kategori Veteran, Muhamad Haniff muncul juara lelaki manakala Tiffany Lee Siok Chin menjuarai kategori wanita.

Untuk kategori Larian Kompetitif Individu 10km, Prabudass Krishnan menjuarai kategori Terbuka Lelaki dengan masa 32:58, diikuti Muhammad Haikal dan Isaac Tan Zhen Wei.

Bagi kategori Terbuka Wanita, Nurul Juliana Shakira muncul juara dengan catatan 40:25, manakala Corinne Gunn Huey Min dan Howe Shan Rou melengkapkan kedudukan podium.

Kategori Veteran pula dimenangi Suresh Sanggeetha (Lelaki) dan Chua Mei Yin (Wanita).

Selain trofi, pemenang turut membawa pulang hadiah wang tunai, baucar serta pelbagai hadiah tajaan daripada rakan strategik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top