Olise boleh berdepan tindakan undang-undang di Perancis

Olise boleh berdepan tindakan undang-undang di Perancis

Dallas: Bintang Perancis, Michael Olise berdepan risiko hukuman penjara jika membawa pulang uncang nikotin oral yang diharamkan apabila kembali ke Perancis selepas Piala Dunia.

Olise menyerlah pada penampilan sulungnya di Piala Dunia apabila mencatat lima bantuan gol sepanjang kempen Perancis sehingga mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, impian skuad kendalian Didier Deschamps untuk ke final berkecai selepas tewas 0-2 kepada juara Eropah, Sepanyol menerusi jaringan Mikel Oyarzabal dan Pedro Porro di Dallas.

Perancis masih mempunyai satu lagi perlawanan apabila dijadual bertemu England dalam aksi penentuan tempat ketiga, Sabtu ini.

Olise juga berpeluang menyamai rekod legenda Brazil, Pele, yang menghasilkan enam bantuan gol pada Piala Dunia 1970 jika mencipta satu lagi bantuan gol dalam perlawanan itu.

Namun, pemain Bayern Munich itu perlu lebih berhati-hati apabila pulang ke Perancis kerana dikatakan masih menyimpan uncang nikotin oral di dalam lokernya.

Produk berkenaan, termasuk jenama Velo yang popular dalam kalangan pemain bola sepak, digunakan dengan meletakkannya di bawah bibir bagi melepaskan nikotin tanpa tembakau.

Kajian Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) bersama Universiti Loughborough sebelum ini mendapati ramai pemain menggunakannya untuk mengurangkan tekanan dan membantu mereka lebih tenang.

Pengarah Kesejahteraan Pemain PFA, Dr Michael Bennett, menyifatkan penggunaan uncang nikotin sebagai mekanisme untuk menangani tekanan semakin tinggi dalam bola sepak, namun mengingatkan ramai pemain tidak menyedari kesan serta sifat ketagihan produk itu.

Walaupun produk berkenaan sah digunakan di Amerika Syarikat dan England, Perancis mengharamkan uncang nikotin oral tanpa tembakau bermula 1 April lalu.

Undang-undang yang diumumkan pada September 2025 itu melarang pemilikan, membawa masuk, menjual atau mengeluarkan produk berkenaan di Perancis.

Satu lagi jenama uncang nikotin, Zyn, turut mengingatkan bahawa sesiapa, termasuk pelancong yang membeli produk itu di luar Perancis, tetap melanggar undang-undang jika membawanya masuk ke negara berkenaan dan boleh dikenakan hukuman berat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top