Atlanta: Kapten England, Harry Kane, enggan mengesahkan sama ada dia akan terus beraksi dalam satu lagi kejohanan Piala Dunia selepas skuad The Three Lions tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Argentina.
Kane, 32, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas England mempersiakan kelebihan satu gol sebelum tewas 1-2 di minit-minit akhir perlawanan.
Kekalahan itu menyaksikan penampilan ketiganya di pentas Piala Dunia selaku kapten, di mana beliau pernah memimpin pasukan mencapai dua separuh akhir dan satu suku akhir sepanjang kerjayanya.
Memandangkan umurnya bakal mencecah 36 tahun pada edisi akan datang, penyerang Bayern Munich itu mengakui masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan.
“Masih terlalu awal untuk saya cakap apa-apa. Saya menilai prestasi saya tahun demi tahun dan melihat bagaimana keadaan fizikal saya.
“Saya sentiasa bangga menyarung jersi England. Namun tidak dinafikan, tempoh empat tahun itu agak lama. Tapi dalam masa sama, kita dapat lihat pemain seperti Lionel Messi masih mampu beraksi di tahap tertinggi biarpun di usia senja.
“Secara jujurnya saya belum tahu. Buat masa ini, saya hanya perlu menerima hakikat penyingkiran ini. Kami sudah berikan segalanya, tetapi ia masih belum mencukupi,” tambahnya lagi.
Perlawanan menentang Argentina adalah penampilan ke-121 buat Kane bersama skuad kebangsaan, sekali gus memotong rekod legenda England, Wayne Rooney, sebagai pemain posisi luar yang paling banyak memegang kap antarabangsa.
Dia kini berada di belakang bekas penjaga gol, Peter Shilton (125 kap).
Bercakap selepas perlawanan, Kane menyuarakan rasa terkilan dengan pendekatan pasukannya yang mula bertahan sejurus mendahului 1-0 menerusi jaringan Anthony Gordon.
“Rasa sangat perit untuk menerima keputusan ini. Kami bermain dengan baik sepanjang sebahagian besar perlawanan. Namun, apabila mendahului 1-0, kita seolah-olah cuba untuk bertahan dan di tahap tertinggi seperti ini, ia sama sekali tidak mencukupi,” jelas Kane.
Mengulas mengenai kegagalan mengekalkan momentum di minit-minit akhir, beliau mengakui pasukannya gagal mengekalkan tekanan seperti yang dilakukan pada awal permainan.
“Sama ada mereka menambah bilangan pemain di jentera serangan atau kita yang gagal menyekat mereka secara individu, serangan Argentina datang bertali-arus.
“Rakan-rakan sudah cuba menghalang, namun akhirnya ia tetap tidak cukup untuk mengekang mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




