IPOH: Kerajaan Perak memberi jaminan bahawa pentadbiran Kerajaan Perpaduan di negeri ini kekal stabil dan terus berfungsi seperti biasa sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkembangan politik di Melaka susulan tindakan DAP menarik diri daripada kerajaan negeri tidak menjejaskan hubungan kerjasama antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan di Perak.
“Semalam sebelum mesyuarat Exco, saya duduk bersama mereka dan secara terus terang saya bertanya sama ada, apa yang berlaku di Melaka akan berlaku di Perak?
“Sehingga semalam, perkara itu tidak berlaku. Jadi tiada masalah di Perak dan kita masih boleh bekerjasama.
“Kita berikrar, oleh kerana tempoh berkhidmat masih panjang, apa yang akan berlaku selepas pembubaran dewan itu cerita lain, tetapi buat masa ini sehingga dewan dibubarkan, kita akan melaksanakan tugas seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Taman Lapangan Terbang, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed.
Menurut pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu, walaupun terdapat perbezaan pandangan antara parti, Kerajaan Perpaduan di Perak masih mampu menjalin kerjasama baik demi kepentingan rakyat.
“Barangkali boleh dikatakan ia adalah perbezaan pendapat dan juga perbezaan dari segi pendekatan.
“Ada orang yang bersuara lantang, ada juga yang bersuara perlahan. Ada yang suaranya kuat tetapi hatinya baik. Jadi ada pelbagai, namun di Perak saya tidak mempunyai masalah berhubung perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Saarani berkata, perbezaan pendapat dan pandangan adalah perkara biasa dalam politik, namun ia tidak seharusnya membawa kepada permusuhan.
“Ini politik. Seperti kata Tun Dr Mahathir Mohamad, tiada musuh dan sahabat yang kekal dalam politik.
“Seeloknya jangan kita saling melukai antara satu sama lain. Berbeza pendapat dan pandangan, itu biasa tapi jangan sampai kita mengutuk, mencerca, maki hamun dan memutuskan silaturahim,” katanya. – UTUSAN




