Alonso 'abaikan' GP Belgium, harap sempat saksikan final Sepanyol-Argentina

Alonso 'abaikan' GP Belgium, harap sempat saksikan final Sepanyol-Argentina

Spa-Francorchamps: Fernando Alonso mengakui keutamaannya pada Grand Prix (GP) Belgium minggu ini adalah memastikan dia sempat pulang ke rumah untuk menyaksikan final Piala Dunia antara Sepanyol dan Argentina, awal pagi Isnin ini.

Pasukan Aston Martin yang diwakili pemandu Sepanyol itu bergelut dalam saingan Formula Satu (F1) musim ini apabila hanya mengutip satu mata daripada sembilan pusingan selain berdepan masalah menamatkan perlumbaan.

GP Belgium dijangka menjadi perlumbaan terakhir sebelum Aston Martin memperkenalkan naik taraf besar pada casis dan enjin, sekali gus diharapkan mampu mengubah prestasi pasukan.

Kali terakhir perlumbaan F1 berlangsung serentak dengan final Piala Dunia ialah pada 2010 ketika Alonso masih bersama Ferrari dan bersaing memburu kemenangan.

Pada tahun itu, Sepanyol muncul juara dunia di Afrika Selatan dan kini memburu gelaran kedua menentang juara bertahan, Argentina.

“Keadaannya berbeza kerana kami tidak menjangkakan keputusan yang baik pada hujung minggu ini.

“Sejujurnya, fokus utama saya pada Ahad adalah untuk pulang dan menonton perlawanan itu,” katanya kepada wartawan di Spa-Francorchamps.

Final Piala Dunia dijadual bermula jam 9 malam waktu Eropah, manakala GP Belgium bermula pada jam 3 petang waktu tempatan.

“Ia akan menjadi agak sukar kerana kami perlu menaiki penerbangan pulang.

“Mungkin saya hanya sempat menonton babak kedua, manakala separuh masa pertama terpaksa saya lepaskan,” katanya.

Pemandu Alpine dari Argentina, Franco Colapinto dan pemandu Williams dari Sepanyol, Carlos Sainz turut berdepan situasi sama.

“Saya pasti akan lebih gementar menunggu perlawanan itu berbanding perlumbaan.

“Semalam (separuh akhir menentang England) kami melalui pelbagai emosi, seronok dan juga menderita.

“Itulah antara perlawanan yang membuatkan anda sangat gementar, tetapi akhirnya diraikan dengan penuh kegembiraan. Malam yang panjang, tetapi sangat menyeronokkan,” kata Colapinto.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top