SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang jika persefahaman dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuahkan hasil positif.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap pilihan raya akan dinilai bagi membolehkan kedua-dua gabungan itu melakukan penambahbaikan pada masa hadapan.
“Sudah tentu apabila kita berdepan sesuatu pilihan raya, kita sentiasa melakukan penambahbaikan.
“Jika keputusan yang mampu kita capai dalam PRN Negeri Sembilan ini baik, kita akan tambah baik lagi supaya pada pilihan raya berikutnya kita memperoleh keputusan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan di Kampung Ismail, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, jajaran politik baharu antara PN dan BN berpotensi mewujudkan kestabilan politik yang lebih kukuh selain memberi nafas baharu kepada landskap politik negara.
“Saya percaya ini merupakan satu langkah yang sangat penting bukan sahaja kepada pengundi Melayu, malah pengundi pelbagai kaum di Negeri Sembilan.
“Mereka akan melihat satu bentuk kestabilan baharu yang boleh dicapai menerusi jajaran politik ini sekali gus memberi nafas baharu kepada landskap politik negara,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan manifesto PN bagi PRN Negeri Sembilan berkemungkinan dibentangkan secara bersama dengan BN.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kempen adakah akan bersama BN termasuk kemungkinan berkongsi pentas.
“Saya tidak akan memberikan kejutan dengan berita lebih awal. Apabila berlangsung penamaan calon dan bermulanya tempoh kempen, perkara-perkara luar biasa seperti jajaran baharu dan cara kempen baharu akan dapat dilihat oleh pemerhati politik serta rakyat.
“Saya tidak akan sebut lebih awal, jadi masing-masing boleh tengok nanti,” katanya.
Mengulas mengenai calon PN, Ahmad Samsuri berkata, gabungan itu mempertaruhkan kombinasi muka baharu dan calon berpengalaman yang mempunyai pelbagai latar belakang serta pengalaman dalam pentadbiran.
“Gabungan ini memberi kepelbagaian kekuatan sekiranya kita diberi mandat untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN.




