East Hanover, New Jersey: Lamine Yamal dan Pedro Porro menjalani latihan berasingan daripada rakan sepasukan ketika Sepanyol memulakan persiapan menghadapi final Piala Dunia 2026 menentang Argentina, awal pagi Isnin ini.
Kedua-dua pemain itu dilihat menjalani latihan pemulihan di pusat latihan Red Bull New York pada sesi pertama skuad kendalian Luis de la Fuente di New Jersey.
Bagaimanapun, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) mengesahkan kepada Reuters bahawa Yamal dan Porro dijangka cergas untuk diturunkan pada aksi final.
Menurut RFEF, latihan berasingan itu hanya sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurus beban fizikal kedua-dua pemain menjelang perlawanan paling penting kejohanan.
De la Fuente sebelum ini mengakui Porro mengalami sedikit kecederaan selepas aksi separuh akhir menentang Perancis, dengan laporan menyebut pertahanan itu mengalami ketegangan otot hamstring, namun tidak serius.
Keadaan Yamal pula dilihat kurang membimbangkan biarpun penyerang muda itu mengalami beberapa kesan hentakan selepas bertarung dengan Lucas Digne dan Theo Hernandez pada aksi separuh akhir.
De la Fuente menjelaskan Yamal tidak mengalami kecederaan serius, sebaliknya hanya berdepan rasa sakit dan lebam akibat aksi yang cukup mencabar.
Keutamaan Sepanyol kini adalah memastikan Yamal, Porro serta seluruh pemain berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang final.
Sementara itu, sesi latihan yang dibuka kepada media selama 15 minit berlangsung dalam suasana santai dengan para pemain kelihatan ceria walaupun berdepan cuaca lembap dan suhu sekitar 30 darjah Celsius.
Sepanyol mempunyai tiga hari untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas dan lembap sebelum mengharungi aksi final yang juga perlawanan kedua mereka di venue terbuka sepanjang kempen Piala Dunia 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




